DUNIA

Malaysia Kutuk Serangan Bunuh Diri Di Quetta, Pakistan

10/11/2024 01:16 PM

PUTRAJAYA, 10 Nov (Bernama) -- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas bunuh diri di Quetta, wilayah Balochistan, Pakistan pada 9 Nov yang mengakibatkan kematian dan kecederaan kepada orang awam.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam insiden itu.

Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berdiri teguh bersama Kerajaan Pakistan dan rakyatnya sewaktu masa yang sukar ini.

"Malaysia sentiasa berpendirian teguh bahawa keganasan dalam semua bentuk dan manifestasinya, merupakan ancaman bukan sahaja kepada kestabilan negara, tetapi juga adalah cabaran kepada masyarakat antarabangsa secara amnya.

"Malaysia kekal komited dalam menyokong usaha masyarakat antarabangsa memerangi keganasan dan menggalakkan kestabilan serantau," menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad di Street No. 17, Sector G-5, Diplomatic Enclave, Islamabad, atau di talian +92 51 207 2900 sambungan 123 atau 125, atau menghantar e-mel ke mwislamabad@kln.gov.my.

Mereka juga boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Karachi yang terletak di 7A Main Khayaban-e-Shamsheer 75500, DHA 5, Karachi, atau menelefon +92 21 352 95618 atau +92 21 352 95619, atau menghantar e-mel ke mwkarachi@kln.gov.my.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 26 orang terkorban manakala lebih 40 cedera dalam letupan bom yang berlaku di sebuah stesen kereta api pada awal pagi 9 Nov.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy