Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 10 Nov (Bernama) -- Kolej Pengajian Islam Singapura yang bakal ditubuhkan akan menawarkan program ijazah sarjana muda sepenuh masa dalam Pengajian Islam dan Sains Kemasyarakatan, dengan kerjasama institusi tempatan dan antarabangsa.
Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong berkata untuk laluan Sains Kemasyarakatan, SCIS akan bekerjasama dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura, manakala untuk laluan Pengajian Islam, rakan kongsinya ialah Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Jordan dan Al-Qarawiyyin di Maghribi.
"Pemimpin institusi ini, serta universiti lain seperti Al-Azhar di Mesir, telah menyatakan sokongan mereka terhadap SCIS. Malah, mereka akan menganggotai panel penasihatnya, menyumbang perspektif yang berharga mengenai isu-isu semasa yang memberi kesan kepada masyarakat minoriti Muslim," katanya pada forum M³ pada Ahad.
Beliau berkata pelajar boleh memilih untuk mengambil jurusan dalam Pengajian Islam atau Sains Kemasyarakatan.
Wong, yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa pendekatan dua laluan itu akan menyediakan pelajar asas pengetahuan yang kukuh untuk melayakkan mereka sebagai asatizah (guru agama), serta kemahiran praktikal untuk meneruskan kerjaya dalam bidang agama dan berkaitan, seperti kerja kemasyarakatan.
Beliau menekankan bahawa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), dengan sokongan kerajaan, telah membangunkan struktur tadbir urus untuk SCIS, dengan sebuah jawatankuasa pemandu yang diketuai oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Wong berkata penubuhan SCIS akan mengukuhkan kapasiti Singapura dalam membina dan membangunkan saluran untuk asatizah masa depan.
“Kami mahu mereka bukan sahaja memiliki pengetahuan dan kemahiran untuk memberikan bimbingan agama kepada masyarakat Muslim kita, tetapi juga mempunyai pemahaman agama dalam konteks kehidupan dalam masyarakat berbilang kaum seperti Singapura, dan membimbing umat Islam kita untuk memberi respons dengan keyakinan terhadap isu-isu dunia moden,” tambahnya.
Kolej itu, yang pertama kali dicadangkan pada 2016, disebut sekali lagi oleh Wong dalam ucapan Perhimpunan Hari Kebangsaan pertamanya pada Ogos.
-- BERNAMA