AM

Jabatan Mufti Kedah Sedia Bantu Proses Istitabah Ahli GISBH

14/11/2024 06:21 PM

ALOR SETAR, 14 Nov (Bernama) -- Jabatan Mufti Negeri Kedah bersedia membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) untuk ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) bagi memudahkan mereka kembali ke pangkal jalan.

Mufti Negeri Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata ia susulan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang memutuskan bahawa ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH adalah sesat serta menyeleweng daripada ajaran agama Islam.

"Kita bersedia, dan selama ini pun Jabatan Mufti sudah ambil tanggungjawab melaksanakan istitabah ini. Kita sudah ada pengalaman dan kalau diminta (bantu) lakukan istitabah, maka kita bersedia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi  Jawatankuasa Muzakarah MKI Datuk Dr Nooh Gadut memaklumkan mesyuarat jawatankuasa itu pada 24-26 Sept lepas yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh penyelidik sebelum memutuskan ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH sesat serta menyeleweng daripada ajaran agama Islam.

Nooh berkata ajaran dibawa Nasiruddin Mohd Ali daripada syarikat GISBH dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana individu lain yang mempunyai ciri-ciri penyelewengan, termasuklah yang berikut adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. 

Ditanya mengenai kedudukan GISBH di Kedah, Syeikh Fadzil berkata walaupun negeri itu belum mengeluarkan apa-apa fatwa berkaitan GISBH, namun keputusan di peringkat MKI sudah mencukupi bagi membolehkan sebarang tindakan diambil.

"Di Kedah ini tidaklah serius seperti di negeri-negeri lain, bila keadaan itu (GISBH didapati sesat) berlaku di Kedah, kita lihat mereka sendiri ambil keputusan tutup pusat pengajian mereka.

"Tapi kita akan keluarkan juga fatwa berkenaan GISBH, akan bawa ke dalam mesyuarat sekali dan kita akan umumkan nanti," katanya.

Sebelum ini, Sabah, Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Perlis, dan Pahang telah mengisytiharkan amalan GISBH sebagai sesat.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy