AM

Landasan Kereta Api Maut: Semangat Juang Arumugam Suntik Inspirasi

12/11/2024 08:40 PM

Oleh Nursyabiha Sukri

PORT DICKSON, 11 Nov (Bernama) -- Mangsa tertua terselamat dalam tragedi buruh paksa projek pembinaan landasan kereta api maut di antara Thailand dan Myanmar semasa perang dunia kedua, mendiang K. Arumugam, disifatkan memiliki semangat juang dan ketabahan amat luar biasa, yang wajar memberi inspirasi kepada masyarakat.

Arumugam yang meninggal dunia pada usia 97 tahun, Sabtu lepas, mengambil tindakan berani pada usia 15 tahun dengan menjadi buruh paksa bagi projek jambatan kereta api itu demi mahu mencari abang kandungnya, meskipun perlu melalui pengalaman penuh berliku dikawal oleh tentera Jepun ketika itu.

Anak bongsu mendiang, A. Suthagar, 45, berkata bapanya pernah menceritakan bahawa harapan untuk membawa pulang bapa saudaranya kembali ke pangkuan keluarga tidak kesampaian kerana dimaklumkan telah meninggal dunia.

"Ayah saya anak kedua daripada lima beradik, dia beritahu tujuannya menjadi buruh paksa kerana mahu mencari abang kesayangannya, dia tekad mahu menyelamatkan abangnya namun nasib tidak menyebelahinya.

"Saya sifatkan ayah seorang yang kuat dan bijak kerana selama bekerja tiga tahun sebagai buruh paksa, dia mampu menguasai bahasa Jepun sehingga dilantik sebagai penterjemah kerana boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, bahasa Tamil dan bahasa Melayu," katanya kepada Bernama hari ini.

Suthagar berkata kelebihan menguasai pelbagai bahasa termasuk bahasa Jepun itu antara faktor membolehkan bapanya menyelamatkan ramai mangsa buruh kasar terdiri daripada pelbagai kaum kembali ke tanah air.

Beliau berkata setelah tamat Perang Dunia Kedua, bapanya kembali ke tanah air dan bekerja sebagai kerani di sebuah ladang getah dikenali ‘Ladang Tampin Linggi’ kemudian turut aktif dalam arena politik dengan menyertai parti MIC.

Mendiang Arumugam yang memiliki 13 anak, 37 cucu dan 21 cicit dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada 3.26 pagi Sabtu, akibat sakit tua di sebuah hospital swasta di Seremban.

Walaupun sedih kehilangan insan tersayang, Suthagar bersyukur kerana kedua ibu bapanya dapat membesarkan anak-anak dengan baik sehingga kesemuanya berjaya dalam karier masing-masing antaranya menjadi guru, anggota tentera, anggota polis dan arkitek.

“Ayah sangat mengambil berat tentang pelajaran, sentiasa memberikan kata-kata semangat dan nasihat sehingga ada dalam kalangan cucunya menjadi doktor perubatan, pegawai kanan teknologi maklumat serta akauntan. Anak saya yang berusia 18 tahun juga akan melanjutkan pelajaran di luar negara.

"Anak lelaki sulung saya pelajar Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dia antara cucu paling rapat dengan mendiang, dia juga belajar bahasa Jepun daripada datuknya," katanya. 

Suthagar berkata sepanjang hayat Arumugam, daya ingatannya masih kuat meskipun sudah berusia hampir 100 tahun dan mendiang sering dijemput memberi ceramah kepada pelajar di beberapa sekolah di Negeri Sembilan.

Berkongsi tentang tips kesihatan diamalkan, Suthagar berkata bapanya seorang berdisiplin dalam pengambilan pemakanan selain tidak menghidap apa-apa penyakit sepanjang hayatnya.

"Ayah tidak mengambil minuman keras, banyak minum air masak dan mengelak makan berlebihan. Ayah juga tidak mengambil makanan segera dan kurang minuman manis selain suka membaca sebab itu daya ingatannya bagus walaupun mencecah 100 tahun," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy