JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Sahkan Pemberi Maklumat Skandal Rasuah Terima Ugutan Bunuh - KPN

13/11/2024 06:07 PM

KOTA BHARU, 13 Nov (Bernama) -- Polis mengesahkan pemberi maklumat yang mengutuskan surat terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung dakwaan skandal rasuah baru-baru ini telah menerima ugutan bunuh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kes tersebut kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

Beliau berkata lelaki berusia 36 tahun telah menerima panggilan telefon melalui WhatApps daripada nombor tidak dikenali.

"Dalam percakapan menerusi panggilan telefon itu, suspek yang dipercayai lelaki tempatan telah mengugut pengadu dengan kenyataan dalam bahasa Cina, bahawa suspek mengaku daripada kumpulan pembunuh upahan untuk membunuh pengadu.

"Suspek telah menerima arahan untuk membunuh pengadu dalam masa 24 jam jika pengadu tidak tutup mulut dan suspek menyatakan panggilan ini adalah amaran terakhir kepada pengadu," katanya kepada Bernama hari ini.

Razarudin berkata suspek turut menghantar dua keping gambar pistol bersama peluru serta sekeping gambar orang kena tembak di atas jalan. 

Beliau berkata pengadu berasa amat takut dan bimbang akan keselamatan diri dan keluarga.

"Siasatan polis mendapati pengadu hanya menerima satu panggilan sahaja dan tidak menerima apa-apa gangguan selepas ‘report and block’ nombor telefon itu.

"Polis telah membuat semakan nombor telefon melalui sistem CCIU dan IPRS, dan mendapati nombor telefon itu tiada dalam perkhidmatan serta tiada rekod pemilik dan penama," katanya.

Razarudin berkata polis tidak menerima sebarang laporan ke atas nombor telefon itu dan carian rekod adalah negatif.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy