Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dan Majlis Perubatan Singapura (SMC) akan mengiktiraf sembilan lagi sekolah perubatan luar negara dari Australia, Ireland, dan United Kingdom, berkuat kuasa 1 Jan 2025.
Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan sekolah perubatan luar negara yang diiktiraf di Singapura kepada 112.
MOH berkata langkah ini merupakan sebahagian daripada semakan berkala SMC bagi memastikan doktor perubatan yang mendapat latihan di luar negara dan ingin berkhidmat di Singapura menerima latihan yang setaraf dengan graduan tempatan.
“Penambahan ini akan membantu Singapura memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap doktor dengan lebih baik, memandangkan populasi kita semakin tua, walaupun jumlah pelajar yang diterima masuk ke sekolah perubatan tempatan telah meningkat daripada sekitar 400 pelajar pada 2013 kepada lebih 500 pelajar pada 2023,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Isnin.
MOH berkata pihaknya telah menerima cadangan SMC setelah mempertimbangkan pelbagai faktor, termasuk kedudukan antarabangsa sekolah-sekolah berkenaan, kesesuaian bahasa pengantar dengan amalan tempatan, dan prestasi graduan daripada institusi berkenaan.
“Siswazah daripada sekolah-sekolah perubatan ini, tanpa mengira kewarganegaraan, termasuk mereka yang telah tamat pengajian sebelum 2025, juga boleh memohon kepada SMC untuk berkhidmat di Singapura, tertakluk kepada pemenuhan keperluan semasa SMC,” katanya.
MOH turut memaklumkan bahawa SMC akan terus menilai doktor perubatan yang mendapat latihan di luar negara dalam tahun-tahun awal mereka melalui rangka kerja penyeliaan untuk memastikan tahap standard amalan perubatan yang tinggi.
Sembilan tambahan baharu ke Jadual Kedua Akta Pendaftaran Perubatan adalah:
Australia:
Ireland:
United Kingdom:
– BERNAMA