DUNIA

Polis Indonesia Rampas Dadah Bernilai US$2.02 Bilion Sejak 2020

11/11/2024 10:24 PM

JAKARTA, 11 Nov (Bernama)  -- Polis Negara Republik Indonesia (Polri) merampas dadah bernilai 31.8 trilion rupiah (kira-kira US$2.02 bilion) dari 2020 hingga kini, rampasan yang mampu menyelamatkan 262 juta orang daripada bahaya narkotik, kata Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo.

Beliau turut mengesahkan, lebih daripada 264,188 suspek ditangkap berkaitan dadah sepanjang tempoh ini dan lebih daripada 1.55 trilion rupiah (kira-kira US$98.7 juta) aset dirampas.

"Polri tetap komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap pesalah dadah dan memusnahkan rangkaian dadah," katanya dalam satu mesyuarat dengan Suruhanjaya III Dewan Perwakilan Rakyat di Kompleks Parlimen pada Isnin.

Listyo turut menggariskan strategi pelbagai fasa untuk memerangi penyeludupan dadah, dengan keutamaan jangka pendek (satu hingga dua tahun) termasuk memperkukuh keselamatan sempadan, memajukan transformasi digital, dan memperluas kampung bebas dadah.

Bagi jangka sederhana (tiga hingga lima tahun), katanya, Polri merancang untuk meningkatkan unit khas dadah, memetakan penyeludupan narkotik di rangkaian internet gelap, dan memperkukuh kerjasama antarabangsa untuk mengekang perdagangan dadah global.

Melangkah ke hadapan untuk jangka panjang (enam hingga 10 tahun), usaha Polri akan termasuk penggunaan forensik digital, memperluas kawasan bebas dadah, dan menubuhkan pusat penyelidikan yang didedikasikan untuk strategi pembanterasan dadah, katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy