KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang merupakan penghormatan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni atas sumbangan dalam bidang kesenian negara, mampu melonjakkan tokoh seni tempatan sebagai seniman bertaraf dunia.
Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Wan Azilawati Wan Mahmood berkata anugerah yang dianjurkan oleh kementerian itu bertujuan untuk melahirkan penggiat seni dan karyawan yang bakal mencipta karya agung sebagai khazanah seni negara.
“Kami mengharapkan pengiktirafan ini dapat memberi inspirasi kepada penggiat seni untuk terus berkarya dan menghasilkan karya bermutu tinggi. Pengiktirafan ini bukan sahaja memberi sumbangan kepada aspek sosial, malah juga memberi impak positif kepada ekonomi,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.
Mengenai penganjuran anugerah ini, empat kategori dipertandingkan, iaitu Anugerah Seniman Negara, Anugerah Khas ASN 2024: Biduan Negara, Anugerah Karyawan Seni, dan Anugerah Pendukung Seni.
“Saringan untuk permohonan dan kriteria sangat ketat, dengan calon mesti mempunyai sekurang-kurangnya 25 tahun pengalaman dalam bidang masing-masing serta berperanan sebagai guru atau mahaguru yang dapat membimbing dan menyumbang kepada perkembangan karya seni negara,” tambahnya.
“Pencalonan mengambil masa yang panjang, bermula dari akhir tahun lepas hingga Februari 2024. Proses ini dijalankan dengan amat teliti bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak,” katanya.
Wan Azilawati berkata pada anugerah yang akan berlangsung di Hotel Majestic di sini pada malam esok (13 Nov), penerima bakal membawa pulang hadiah lumayan yang setimpal dengan karya serta sumbangan yang telah diberikan kepada negara.
Penerima Anugerah Seniman Negara akan menerima wang tunai sebanyak RM60,000, sepersalinan pakaian kebangsaan, watikah penganugerahan, serta trofi. Mereka juga akan dianugerahkan status sebagai Seniman Tamu MOTAC, insentif untuk meneruskan karya seni, dan layak menerima rawatan kelas pertama di hospital kerajaan sepanjang hayat.
Bagi Anugerah Khas ASN 2024: Biduan Negara, penerima akan menerima wang tunai RM30,000, kain songket, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu manakala Anugerah Karyawan Seni, penerima akan menerima wang tunai RM30,000, watikah dan trofi.
Bagi Anugerah Pendukung Seni pula, penerima akan menerima wang tunai RM10,000, watikah dan trofi.
Untuk rekod, ASN sudah diadakan sebanyak lapan edisi bermula 1993, 1995, 1997, 1999, 2002, 2004, 2006 dan kali terakhir penganjurannya adalah pada 2009 dengan tokoh pernah menerima ASN ialah Tan Sri Dr Jins Shamsudin (Seni Lakon & Perfileman), Tan Sri Dr Ahmad Nawab (Seni Muzik) dan Abdul Rahman Abu Bakar (Seni Teater Bangsawan).
Majlis berkenaan dijadual akan disempurnakan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
ASN diperkenalkan pada 1993 untuk mengiktiraf pencapaian menakjubkan penggiat seni dalam pelbagai cabang seni seperti muzik, tari, lakon, kraf dan seni visual.
-- BERNAMA