AM

Fahmi Ucap Tahniah Pada Krew Filem Abang Adik

22/11/2024 06:57 PM

PUTRAJAYA, 22 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini mengucapkan tahniah kepada krew filem Abang Adik yang memenangi Filem Terbaik di 10th Asian World Film Festival 2024 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat, hari ini.

Beliau berkata pencapaian itu merupakan suatu kebanggaan kepada negara dan membuktikan keupayaan industri filem tempatan sehingga mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Ada berita baik, filem Abang Adik yang kita angkat sebagai entri Malaysia kepada Oscar telah memenangi hadiah filem terbaik. Filem tersebut telah berjaya mengetepikan 15 filem lain dari seluruh Asia untuk memenangi Piala Snow Leopard,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan filem arahan sulung pengarah Jin Ong itu telah merangkul 19 anugerah antarabangsa, sekali gus satu pencapaian yang membuktikan filem Malaysia mampu bersaing dan menyerlah di peringkat global.

Antara pencapaian tertinggi Abang Adik ialah anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition ke-22), dan merangkul Golden MulberryBlack Dragon Critics' Award, serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali.

Selain itu filem berkenaan juga menerima pengiktirafan di Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37, Switzerland dan Festival Filem First di China.

Filem ‘Abang Adik’ turut mencatatkan kejayaan luar biasa di China dengan kutipan pawagam mencecah RM2.2 juta setakat 30 Sept selepas mula ditayangkan pada 21 Sept lepas, kutipan pecah panggung RM14.6 juta di Taiwan dan RM1.55 juta di Hong Kong, menjadikannya filem Malaysia pertama mencatatkan rekod tayangan tertinggi.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy