AM

Fahmi Ucap Tahniah Kepada Siti Nurhaliza Atas Penganugerahan Biduanita Negara

14/11/2024 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang diiktiraf Biduanita Negara susulan penganugerahan sebagai Biduan Negara 2024 pada Anugerah Seni Negara (ASN) yang berlangsung semalam.

Menerusi hantaran di platform X hari ini Fahmi berkata Kementerian Komunikasi amat berbangga dengan pencapaian penyanyi itu yang cemerlang dan bergemerlapan dalam bidang seni suara.

"Tahniah Biduanita Siti Nurhaliza! Semoga dengan pengiktirafan ini, beliau akan terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.

Siti Nurhaliza, 45, yang mula menceburi industri seni pada 1995 menjadi wanita ketiga diberi penghormatan tersebut.

Sepanjang penglibatannya, beliau memenangi lebih 300 anugerah dari dalam dan luar negara antaranya 42 anugerah pada Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (25), Anugerah Planet Muzik (28), MTV Asia Award (empat) selain pengiktirafan Malaysia Book Of Records sebanyak dua kali. 

Penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu juga telah merakamkan lebih 200 lagu menerusi 20 album, mengadakan lebih 60 konsert dalam dan luar negara serta disenaraikan sebagai 500 Muslim Berpengaruh Dunia 10 tahun berturut-turut selain pernah mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall London pada 2005.

Sementara itu Fahmi dalam hantaran berasingan di platorm X turut mengucapkan tahniah kepada Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Datuk Mokhzani Ismail, 62, yang menerima Anugerah Karyawan Seni Muzik.

“Tahniah Datuk Mokhzani Ismail, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik @RTM_Malaysia atas pengiktirafan terbaharu yang diterima. Semoga terus menyumbang bakti kepada kemajuan industri muzik tanah air. Syabas!” katanya.

Anak jati Perlis itu memulakan kerjaya sebagai guru antara 1982 hingga 1986 selepas tamat latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas pada 1981, sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat untuk mendalami bidang muzik persembahan jazz dan penggubahan.

Perjalanan beliau di RTM bermula pada 1991 selepas tamat pengajian di Amerika Syarikat dan dilantik sebagai pemimpin Orkestra RTM (ORTM) serta Pengarah Muzik RTM pada 1999 ketika berusia 37 tahun.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy