MOSCOW, 14 Nov (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Bilangan individu yang menghidap diabetes meningkat sebanyak 318 peratus, melebihi 820 juta dari 1990 hingga 2022, menurut kajian oleh NCD Risk Factor Collaboration (NCD-RisC) yang diterbitkan pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Pada 2022, dianggarkan seramai 828 juta... orang dewasa (berumur 18 tahun ke atas) menghidap diabetes, peningkatan sebanyak 630 juta... sejak 1990,” menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet.
Sepanjang tempoh itu, prevalens diabetes dalam kalangan wanita meningkat di 131 negara dan di 155 negara bagi lelaki. Pada masa yang sama, skala rawatan diabetes bertambah di 118 negara untuk wanita dan 98 negara untuk lelaki, menurut penyelidik.
“Prevalens terendah di dunia pada 2022 dicatatkan di Eropah barat dan timur Afrika untuk kedua-dua jantina, serta di Jepun dan Kanada bagi wanita.
“Manakala, prevalens tertinggi dicatatkan di negara-negara di Polynesia dan Micronesia, beberapa negara di Caribbean, Timur Tengah, Afrika utara, serta di Pakistan dan Malaysia,” menurut kajian itu.
Penyelidikan dijalankan berdasarkan data daripada 1,108 kajian berkaitan dan melibatkan 141 juta orang berumur lebih 18 tahun.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI