AM

Malaysia Alami Pertumbuhan Penduduk Lebih Perlahan pada Suku Ketiga 2024 - DOSM

14/11/2024 08:46 PM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Penduduk Malaysia pada suku ketiga 2024 dianggarkan 34.1 juta berbanding suku ketiga 2023  iaitu sebanyak 33.6 juta dengan pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 1.6 peratus berbanding 2.1 peratus. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan lebih perlahahan itu seiring dengan penurunan bilangan kelahiran.

Beliau berkata jumlah penduduk itu terdiri daripada 30.7 juta atau 90 peratus warganegara dan 3.4 juta atau 10 peratus bukan warganegara.

Mohd Uzir berkata penduduk lelaki meningkat kepada 17.9 juta daripada 17.6 juta pada suku ketiga 2023 dan populasi wanita bertambah kepada 16.2 juta daripada 16 juta dalam tempoh sama.

“Nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan manakala nisbah jantina bagi warganegara ialah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya.

Mohd Uzir berkata penduduk umur muda (0-14 tahun) kekal tidak berubah pada 7.6 juta atau 22.2 peratus manakala komposisi populasi umur bekerja (15-64 tahun) dan penduduk tua (65 tahun dan lebih) masing-masing meningkat daripada 23.5 juta ( 70 peratus) dan 2.5 juta (7.5 peratus) kepada 23.9 juta (70.2 peratus) dan 2.6 juta (7.7 peratus).

Etnik Melayu menyumbang 58.1 peratus daripada jumlah penduduk pada (suku ketiga 2023: 57.9 peratus) manakala etnik Cina serta India masing-masing menurun kepada 22.4 peratus dan 6.5 peratus, berbanding 22.5 peratus dan 6.6 peratus dalam tempoh sama tahun lepas. Bumiputera lain kekal tidak berubah iaitu 12.3 peratus.

Jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 12.3 peratus dengan 100,645 kelahiran berbanding 114,764 kelahiran pada suku ketiga 2023.

Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 19,458 (19.3 peratus) manakala Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan kelahiran terendah sebanyak 327 kelahiran (0.3 peratus).

Ibu berumur 30-39 tahun merekodkan kelahiran hidup tertinggi iaitu 50,670 (50.3 peratus) pada suku tahun ini diikuti ibu berumur 20-29 tahun (42.6 peratus), 40 tahun dan lebih (5.0 peratus) dan kurang daripada 20 tahun (2.1 peratus).

"Secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 46 bayi bagi setiap jam dan 1,094 bayi sehari pada suku tahun ketiga 2024," kata Mohd Uzir.

Mengulas lanjut, sebanyak 48,317 kematian direkodkan, meningkat 1.9 peratus berbanding suku  ketiga (47,438 kematian).

Kumpulan umur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi iaitu 33,995 kematian (70.4 peratus) diikuti 41-59 tahun (20.0 peratus), 15-40 tahun (7.5 peratus) dan 0-14 tahun (2.2 peratus).

Secara purata, satu kematian direkodkan pada setiap dua minit manakala 22 kematian direkodkan setiap jam dan 525 kematian sehari pada suku ketiga 2024," kata Mohd Uzir.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy