EKONOMI

Malaysia Berada Dalam Kedudukan Untuk Menunjukkan Kepimpinan Dalam ASEAN -- Jetro, Jactim

17/11/2024 12:00 PM

Oleh Christine Lim

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Malaysia berada dalam kedudukan untuk menunjukkan kepimpinannya dalam ASEAN apabila ia memegang peranan sebagai pengerusi pertubuhan berkenaan tahun depan.

Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) Kuala Lumpur Koichi Takano berkata wujudnya harapan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Malaysia.

"Wawasan komuniti ASEAN 2045, yang (menggariskan) hala tuju masa depan rantau ini, dijangka diterima pakai di Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan," kata Takano dalam temu bual dengan Bernama.

Malaysia juga semakin mendapat tarikan di mata dunia kerana ia berusaha mengatasi perangkap negara berpendapatan sederhana, menjadi negara yang berbilang etnik dan berpendapatan tinggi melalui perindustrian, katanya.

Beliau menekankan negara itu mendapat perhatian sebagai hab untuk akses ke rantau ASEAN dan pasaran negara ketiga yang lain.

 

PELABURAN JEPUN

Takano berkata baru-baru ini terdapat trend untuk meningkatkan pelaburan Jepun di Malaysia, terutamanya dalam sektor peruncitan.

“Sebagai contoh, dalam industri runcit, kedai serbaneka jenama Jepun baru-baru ini dibuka sebagai penyewa utama buat pertama kali di kemudahan komersial besar di Kuala Lumpur pada 2023.

“Kedai buku, kedai ubat, syarikat-syarikat perabot utama dan kedai barangan terpakai juga sedang mengembangkan rangkaian mereka di Malaysia,” jelasnya.

Beliau berkata beberapa kes pengambilalihan juga telah dilaporkan dalam bidang transformasi digital.

“Selain itu, disebabkan peningkatan kos dan prosedur pemerolehan visa yang lebih ketat di beberapa negara ASEAN lain, terdapat usaha untuk menubuhkan ibu pejabat serantau di Malaysia, dengan menilai kelebihan relatif persekitaran perniagaan Malaysia,” katanya.

Menurut Takano, pelaburan dari Jepun akan memberi tumpuan kepada neutral karbon, penjagaan kesihatan dan perubatan, digital, pusat data dan hab industri halal pada masa hadapan.

Jepun merupakan sumber ketiga terbesar pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia tahun lepas, dengan mencatatkan RM5.5 bilion, sebahagian besar daripadanya dalam sektor pembuatan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Takano berkata Jetro sebagai penasihat kepada Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri Jepun di ASEAN (FJCCIA), juga akan bekerjasama dengan Dewan Perdagangan dan Industri Jepun Malaysia (Jactim) untuk menghubungkan syarikat ASEAN dan Jepun bagi menambah baik persekitaran perniagaan.

Presiden Jactim Takero Sawamura berkata sebagai ahli FJCCIA, ia akan terus berusaha ke arah merealisasikan visi komuniti ASEAN, mengukuhkan hubungan Jepun-ASEAN dan meningkatkan persekitaran perniagaan melalui dialog dengan Setiausaha Agung ASEAN dan juga menggunakan pelbagai saluran lain.

"Saya percaya tema utama pada masa hadapan ialah sama ada sektor swasta boleh menggalakkan pertumbuhan yang lebih mantap dan mampan, jadi adalah perlu untuk mengukuhkan lagi hubungan yang dibina setakat ini antara Jepun dan ASEAN," kata Sawamura.

FJCCIA terdiri daripada 10 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jepun di sembilan negara anggota ASEAN, dengan 7,370 syarikat secara keseluruhannya.

 

PERANAN MALAYSIA SEBAGAI PENGERUSI ASEAN

Sawamura menekankan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan akan membolehkannya menerajui kerjasama antara Jepun dan ASEAN, khususnya dalam bidang  yang mana Jepun akan meningkatkan pelaburannya untuk sektor transformasi hijau (GX) dan transformasi digital (DX).

Pada Sidang Kemuncak Jepun-ASEAN yang diadakan di Vientiane pada Oktober, Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba menekankan Jepun akan menggalakkan kerjasama untuk menangani isu-isu baru muncul seperti GX dan DX.

Menurut Sawamura, tumpuan konsisten Malaysia terhadap perspektif syarikat dan industri akan meningkatkan persekitaran perniagaan dan menggalakkan kerjasama di rantau ASEAN.

"Jactim juga berharap untuk terus menyumbang secara aktif bagi membina persekitaran perniagaan yang lebih baik melalui dialog dengan kerajaan Malaysia," katanya.

 

SUMBANGAN JEPUN

“Dari perspektif itu, kami percaya Jepun boleh terus menyumbang dari segi teknologi, pengetahuan, dan pembangunan sumber manusia.

“Terutamanya pengalaman Jepun berguna dalam banyak bidang seperti penduduk yang semakin tua dan tindakan balas bencana alam yang akan dihadapi Malaysia pada masa hadapan,” katanya.

Bagaimanapun, Sawamura berkata apabila rantaian bekalan menjadi lebih pelbagai, persaingan akan semakin sengit dan persekitaran perniagaan akan menjadi lebih sukar.

“Dan kami percaya dengan mengekalkan, mengembangkan dan mengukuhkan perniagaan syarikat yang sudah beroperasi di Malaysia adalah sama atau lebih penting daripada menarik FDI.

“Sehubungan itu, sebagai dewan perniagaan dan industri, Jactim ingin mempromosikan aktiviti seperti advokasi dasar dan pertukaran ekonomi,” tambahnya.

Sawamura berkata Jactim yang ditubuhkan pada 1983, akan terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Jepun dan Malaysia melalui aktiviti-aktiviti perdagangan, perniagaan, industri dan pelaburan.

Ini juga selaras dengan objektif Jactim untuk melindungi kepentingan syarikat-syarikat Jepun.

“Tidak dinafikan bahawa Malaysia akan terus mengeratkan hubungannya sebagai rakan kongsi penting untuk Jepun,” katanya.

Menurut Sawamura, syarikat Jepun telah beroperasi terutamanya dalam industri pembuatan sejak 1970-an dan kini terdapat kira-kira 1,600 syarikat Jepun di Malaysia.

“Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa mereka telah memainkan peranan utama dalam perindustrian Malaysia, memberi tumpuan kepada industri elektrik dan elektronik (E&E),” katanya.

Beliau merumuskan dalam industri E&E hari ini yang berpaksikan semikonduktor, Malaysia telah menonjol di ASEAN berikutan pembentukan industri sokongan oleh syarikat-syarikat perintis dari Jepun.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy