AM

Selangor Lancar Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Hari Ini

27/11/2024 07:42 PM

SHAH ALAM, 27 Nov (Bernama) -- Selangor menjadi negeri pertama melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor sebagai persediaan menghadapi situasi negeri menua apabila 8.1 peratus daripada penduduknya berumur 65 tahun ke atas.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata dasar itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu advokasi dan promosi, tata kelola dan kawal selia, penjaga terlatih dan tenaga kerja, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.

Beliau berkata dasar yang berlangsung sehingga 2030 itu akan mengambil kira aspek penjagaan warga emas, penjagaan kanak-kanak, orang kurang upaya serta pengukuhan sokongan kepada komuniti penjaga yang formal dan tidak formal.

“Walaupun Selangor menduduki tangga kelima selepas Perak, Kedah, Sarawak, dan Perlis dari segi peratus masyarakat menua, dari segi jumlahnya Selangor mempunyai angka paling tinggi memandangkan kepadatan penduduk dan populasi tinggi sebanyak 7.36 juta.

“Di Selangor, tiga daerah yang mempunyai peratus populasi paling tinggi warga emas ialah Kuala Selangor, Sepang, dan Hulu Langat,” katanya selepas melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor di sini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata dasar itu juga merangkumi peranan agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, agar memudah cara proses latihan serta pengiktirafan penjaga yang tidak formal terutamanya mereka yang menjaga anak-anak atau warga emas di rumah serta komuniti.

Sehubungan itu beliau berkata kerajaan negeri juga akan menganjurkan Selangor Care Economy Summit pada tahun depan melibatkan pakar kanak-kanak, warga emas, nutrisi serta pihak berkepentingan lain agar mereka yang terlibat dalam ekonomi penjagaan diiktiraf dengan peranan penting, seperti gaji yang lebih berpatutan.

“Saya berharap Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor digerakkan sepenuhnya bagi memberikan kebaikan kepada warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya, komuniti penjaga serta rakyat Selangor secara keseluruhan,” katanya.    

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy