AM

Projek Sekolah Perlu Siap Dalam Tempoh, Harga Ditetapkan - Nanta

16/11/2024 03:29 PM

LUNDU (Sarawak), 16 Nov (Bernama) -- Kontraktor yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR), khususnya bagi projek penambahan bangunan sekolah disaran menyiapkan pembinaan dalam tempoh serta harga yang ditetapkan dalam kontrak, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata dalam konteks Sarawak, kontraktor yang dipilih bagi projek sedemikian telah menunjukkan prestasi memberangsangkan setakat ini. 

“Namun, secara puratanya saya akui ada juga (kontraktor yang dilantik) bermasalah atau kurang mampu dalam kewangan serta pengurusan mereka dan jumlahnya tidak banyak.

“Disebabkan itu kita memastikan proses pemilihan kontraktor yang lebih ketat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu dan SMK Padawan hari ini.

Nanta berkata pelaksanaan kedua-dua projek sekolah berkenaan yang siap sepenuhnya mengikut tempoh dan harga yang dipersetujui berjaya menunjukkan kemampuan kontraktor tempatan dalam menjalankan tugas mereka. 

Dalam pada itu, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pendidikan Datuk Masyati Abang Ibrahim berkata pembinaan bangunan tambahan di SMK Lundu dan SMK Padawan bertujuan menampung kemasukan pelajar sekolah yang kian meningkat di kawasan itu.

“Untuk makluman, sekolah ini bukan kategori daif dan ia juga sebagai gantian kepada sekolah yang keadaannya hampir daif … dan kita lihat dari segi permohonan bangunan tambahan sekolah di Sarawak semakin meningkat kerana kemasukan semakin ramai,” katanya. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kerja Raya hari ini, projek penambahan bangunan SMK Lundu dan SMK Padawan telah diluluskan di bawah Rolling Plan ke-4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), masing-masing berjumlah RM24 juta dan RM12.2 juta.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy