KOTA BHARU, 16 Nov (Bernama) -- Seorang wanita maut manakala dua penumpang kereta dipandunya cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kereta berhampiran sebuah kedai keropok losong di Jalan Kadok, Ketereh, di sini tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata siasatan awal mendapati sebuah kereta Proton Waja cuba memotong kereta Perodua Viva dipandu wanita berusia 20-an itu namun tidak berjaya.
Beliau berkata ini menyebabkan Proton Waja berkenaan terlanggar bahagian sisi kanan hadapan kereta mangsa.
“Akibat perlanggaran itu, kereta yang dipandu wanita berkenaan dari arah Tunjong menghala ke Ketereh telah berpusing lalu terbabas ke laluan bertentangan menyebabkan perlanggaran dengan Toyota Harrier dipandu seorang lelaki berusia awal 50-an.
“Mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua penumpang dalam kereta dipandu wanita itu kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di sini akibat kecederaan di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosdi berkata polis sedang mengesan pemandu Proton Waja berkenaan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Nurul Izzati Mohammad Rosli di talian 09-7752315.
-- BERNAMA