PUTRAJAYA, 16 Nov (Bernama) -- Amalan menghafaz al-Quran sebelum melaksanakan tugasan menjadi resepi kejayaan graduan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Muhammad Hasif Zikry Mohd Ridzwan sehingga dinobatkan penerima Anugerah Canselor Emas hari ini.
Anugerah berkenaan disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada majlis konvokesyen UNITEN ke-26 di sini yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.
Ditemui Bernama selepas majlis berkenaan, Muhammad Hasif Zikry, 22, berkata beliau menjadikan amalan menghafaz al-Quran kira-kira sejam sehari atau dua muka surat sebagai rutin sebelum melaksanakan tugasan diberikan pensyarah.
“Biasanya lepas mengaji al-Quran, saya akan buat tugasan yang pensyarah berikan sebab saya perasan lepas mengaji itu semua kerja jadi mudah,” kata graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) (Kepujian).
Beliau yang juga pelajar Huffaz UNITEN berkata perkara lain yang perlu diberikan penekanan sebagai pelajar universiti adalah pengurusan masa.
“… kita memang kena pandai mengurus masa dengan baik sebagai pelajar sekiranya ingin berjaya,” kata anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu.
Sementara itu, Muhammad Izzawani Zaidi yang juga graduan Orang Asli dalam Diploma Perakaunan berkata beliau teruja dapat menamatkan pengajian di peringkat tinggi serta menjadi inspirasi buat keluarga dan penduduk kampungnya.
“Saya berhasrat untuk sambung belajar lagi dan bercita-cita buka firma audit sendiri,” kata yang berasal dari Kuantan, Pahang.
Pada majlis konvokesyen UNITEN ke-26, seramai 1,412 graduan bakal menerima skrol akademik dengan 30 pelajar Orang Asli berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma.
Ia sekali gus mencerminkan komitmen UNITEN dalam membuka peluang pendidikan tinggi kepada pelajar berkenaan.
-- BERNAMA