AM

Tuanku Zara Salim Rasmikan Larian Relay For Life 2024, Rai Pejuang Kanser

17/11/2024 12:44 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat merasmikan acara larian Relay For Life (RFL) Malaysia 2024 di Taman Tasik Titiwangsa, pagi ini.

Acara tahunan anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) itu kembali diadakan tahun ini dengan penyertaan lebih 500 peserta termasuk pemandiri kanser.

Turut hadiri Pengarah Urusan NCSM Prof Madya Dr M.Murallitharan dan Presiden NCSM Datuk Dr. S.Saunthari.

Murallitharan berkata bagi edisi tahun ini RFL diadakan di tiga lokasi berbeza yang bermula di Taman Tasik Titiwangsa pada 16 dan 17 Nov, seterusnya Kolej Universiti Manipal, Melaka (30 Nov dan 1 Dis) dan di Padang Polo Ipoh, Perak (7 dan 8 Dis).

Beliau berkata program itu bertujuan menjadi pemangkin semangat kepada pesakit-pesakit dan pemandiri kanser untuk terus berjuang serta menyuntik kesedaran dalam kalangan rakyat tentang kanser.

“Program ini menjadi simbol harapan dan semangat juang dalam menghadapi cabaran kanser,” katanya dalam ucapan aluan pada program itu.

Beliau turut berkongsi kejayaan Program Imunisasi HPV “Leaving No One Behind” Peringkat Kebangsaan yang dilaksanakan awal 2024 lepas, menyaksikan lebih 220,000 rakyat di seluruh Malaysia mendapat perlindungan HPV,  iaitu 75 peratus daripada sasaran 300,000 orang.

Bagi pencapaian Program Mamogram Percuma Etiqa bersama NCSM pula, Murallitharan berkata NCSM berjaya membantu 27,500 wanita kurang berkemampuan di Semenanjung Malaysia mendapatkan mamogram percuma sejak diperkenalkan lima tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy