AM

COP29: Pendanaan Iklim Penting Untuk Peralihan Hijau ASEAN

17/11/2024 04:05 PM

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

BAKU (Azerbaijan), 17 Nov (Bernama) -- Tumpuan terhadap pendanaan iklim dan peralihan hijau dalam ASEAN menjadi semakin penting apabila rantau ini bergerak ke arah pertumbuhan ekonomi mampan dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) Shamsul Bahar Mohd Nor.

Beliau berkata Malaysia akan mencari pendanaan iklim kerana ia penting bagi menyokong industri dalam peralihan mereka ke arah menghasilkan lebih banyak produk hijau.

Shamsul Bahar berkata pendanaan iklim akan menjadi satu acara kemuncak pada Persidangan Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) ke-29 (COP29) untuk memastikan negara-negara ASEAN mendapat manfaat secara berkesan daripada dana iklim global, menekankan kepada kepentingan aliran kewangan untuk menyokong projek-projek hijau.

“Pendanaan iklim adalah antara bidang tumpuan (COP29) kerana ini sangat diperlukan oleh Malaysia terutamanya industri di ASEAN untuk bergerak ke hadapan bagi menghasilkan lebih banyak produk hijau,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pavilion Malaysia sempena COP29, yang berlangsung dari 11 hingga 22 Nov di sini hari ini.

Selain itu, Shamsul Bahar berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 juga akan menekankan kepentingan mewujudkan mekanisme yang berkesan serta meningkatkan kerjasama antarabangsa untuk menangani kerugian dan kerosakan bagi menyokong usaha pemulihan negara-negara membangun dalam menguruskan kesan buruk daripada perubahan iklim.

Shamsul Bahar berkata ASEAN 2025 akan menjadi platform penting, dengan Malaysia memainkan peranan utama untuk memacu ekonomi hijau menerusi pelaksanaan teknologi iklim bagi mempercepatkan pengurangan pelepasan karbon dan menggalakkan ekonomi hijau yang berdaya tahan di rantau ini.

Beliau berkata Malaysia juga terlibat secara aktif dalam rundingan Artikel 6 Perjanjian Paris yang bertujuan untuk menentukan mekanisme pasaran karbon dan diharapkan menjelang 2026, rangka kerja itu akan diperhalusi lagi.

Di peringkat domestik Shamsul Bahar berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan, terutamanya pengenalan cukai karbon ke atas industri besi dan keluli di samping industri tenaga menjelang 2026 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Beliau berkata ini adalah komitmen kerajaan ke arah langkah penting untuk mengurangkan pelepasan karbon negara, sejajar dengan komitmen iklim global.

Beliau berkata apabila Malaysia menjadi pengerusi, tindakan itu akan memberi manfaat limpahan kepada ASEAN untuk mengguna pakai rangka kerja sama dalam mewujudkan pendekatan serantau yang padu terhadap pengurusan karbon, pada masa yang sama memastikan ekonomi terus kompetetif.

Sementara itu Shamsul Bahar berkata kerajaan turut melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) tahun lepas dengan visi untuk menarik pelaburan bernilai RM1.2 trilion bagi mengukuhkan lagi komitmennya ke arah masa depan hijau.

Beliau berkata impian besar itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan dasar yang lebih telus dan lancar untuk pelabur.

“Sejak 2010, pelbagai insentif telah mendorong pembuatan hijau di Malaysia melalui MGTC, termasuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) yang membawa masuk pelaburan hijau bernilai RM50 bilion setakat ini, dengan RM7.5 bilion dijamin kerajaan. 

“Tambahan RM1 bilion telah diumumkan untuk mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi hijau ini,” katanya.

Kerajaan dalam Belanjawan 2025 mengumumkan bahawa program GTFS diteruskan sehingga 2026 dengan pembiayaan RM1 bilion.

Selain itu Shamsul Bahar berkata MGTC melancarkan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB) yang menyasarkan 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang 2025 serta 50 peratus pengecasan kumpulan kenderaan kerajaan.

Penyertaan Malaysia pada COP29 bertujuan untuk mengukuhkan komitmen terhadap ekonomi hijau seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025, bagi mempercepatkan penggunaan teknologi yang lebih bersih dan menarik pelaburan mampan untuk menguatkan kepimpinan negara dalam pertumbuhan hijau.

Pavilion Malaysia pada COP29 diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, dengan kerjasama MGTC sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy