Oleh Razif Rosli
KAMPAR, 18 Nov (Bernama) -- Di zaman kegemilangan majalah kartun sekitar 1990-an, nama Bijan antara yang sering meniti di bibir peminat, tertunggu-tunggu edisi terkini majalah Ujang di pasaran bagi membaca karya terbaharu kartunis itu.
Lebih tiga dekad berlalu sejak penglibatannya dalam dunia kartun tanah air, kini Bijan, atau nama sebenarnya Syahru Maizam Jamin, 51, selesa bergelar pemilik warung di Malim Nawar dekat sini.
Berkongsi kisahnya dengan Bernama, anak kelahiran Kampung Sri Menanti, Muar, Johor ini berkata pada peringkat awal, berniaga kecil-kecilan itu adalah antara usaha beliau meneruskan kelangsungan hidup selepas majalah Ujang dihentikan penerbitannya pada 2015.
"Bagi meneruskan hidup, saya tanpa berfikir panjang memilih untuk berniaga kerana ketika kecil saya selalu mengikut ayah saya berniaga. Merata saya pergi berniaga kecil-kecilan untuk menyara keluarga kerana nak buat bidang lain saya tiada kepakaran,” katanya ketika ditemui di warungnya yang dinamakan Warung Bijan.
Bermula dengan gerai di tepi jalan menjual kuih-muih pada 2017, kini Warung Bijan menawarkan pelbagai menu, antaranya hidangan nasi ayam panggang, laksa dan mi jawa selain turut menerima tempahan untuk keraian.
pic-2
Menyoroti pembabitannya dalam dunia kartun, Bijan berkata beliau mula melukis sejak di bangku sekolah sebelum menyertai beberapa rakan lain seperti Sukun, Jering, Ubi, Duku, Halia dan Sireh terlibat dalam penerbitan komik Ujang dengan edisi pertama dipasarkan pada 1 Jan 1994.
Bijan yang terkenal dengan kartun semuka Bas Mini 222, berkata beliau pernah meninggalkan majalah Ujang pada 1998 dan menyertai komik Lanun, namun kembali semula ke pangkuan majalah itu pada 2000.
"Pada 2008 saya berhijrah ke Malim Nawar, kampung isteri saya, dan menghantar hasil kerja melalui pos sebelum beralih kepada e-mel.
"Saya kekal di majalah Ujang hinggalah penerbit MOY Publications menghentikan penerbitan majalah yang pernah menjadi jaguh pasaran komik tempatan itu pada 6 Ogos 2015.
pic-3
“Penutupan majalah ini menjadi tamparan hebat kepada kami para kartunis. Walaupun pihak produksi cuba membawa kartunis berkarya di alam maya, bagi peminat ia tidak sama. ‘Kematian’ majalah bererti ‘kematian’ industri,” katanya.
Menurut Bijan, kali terakhir beliau terlibat dalam penerbitan komik adalah pada 2016, menghasilkan naskhah Jenama X dengan 10 kartunis lain.
Mengimbau zaman kegemilangan majalah Ujang, beliau berkata peneraju komik itu Ibrahim Anon yang lebih dikenali menerusi nama pena Ujang, membentuk satu barisan kartunis yang mantap, antaranya Gayour, Nik dan (Allahyarham) Aie, membolehkan majalah itu mencatat jualan lebih 200,000 naskhah setiap keluaran.
"Waktu itu Ujang (Ibrahim Anon) menyuruh kami mengambil nama pena yang mudah diingati seperti sayur-sayuran atau apa sahaja yang berkaitan. Begitulah kami peroleh nama-nama gelaran kami.
"Setiap kartunis mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing mencipta karakter atau watak dan kami mempunyai kolum kami sendiri untuk kami siapkan. Setiap bulan kita ada dua keluaran," katanya.
pic-4
Sekalipun beliau tidak lagi terlibat dalam dunia itu, Bijan berkata masih ramai kartunis yang menceburi bidang tersebut secara sepenuh masa.
“Mereka mampu pergi jauh jika bijak mencari peluang, dan paling penting perlu lengkapkan diri dengan pengetahuan dan menguasai isu kemasyarakatan, budaya, ekonomi, politik serta perkembangan semasa, kerana kartunis juga merupakan penulis, cuma penyampaian sahaja berbeza, iaitu kami buat dalam bentuk jenaka,” katanya.
pic-5
Bijan juga tidak kesal dengan keputusan diambilnya meninggalkan dunia kartun yang beliau sifatkan sebagai tepat pada waktunya.
"Kita ada kewajipan dan tanggungjawab yang perlu kita tunaikan. Menjadi kartunis sambilan tidak sama seperti kartunis sepenuh masa yang mempunyai gaji bulanan.
"Walaupun saya tidak lagi terlibat dalam dunia penerbitan kartun, saya masih lagi melukis kalau ada masa terluang kerana melukis kartun ini sudah sebati dengan jiwa saya,” katanya.
-- BERNAMA