AM

Kerajaan Sasar Turun NRW 31 Peratus Menjelang 2025 - TPM Fadillah

19/11/2024 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) – Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan Air Tidak Berhasil (NRW) kepada 31 peratus menjelang tahun depan berbanding 37.1 peratus kini, iaitu kehilangan sebanyak 7,195 juta liter air terawat sehari bernilai lebih RM2 bilion setahun.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata inisiatif utama di bawah program NRW bertujuan menangani isu berterusan di Malaysia itu, melibatkan penggantian paip dan penambaikan rangka kerja pembayaran balik.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata di bawah Program Penggantian Paip Kritikal, 1,844 km paip tua dan kritikal di seluruh Malaysia akan diganti.

“Selain itu, Kadar Bayaran Balik Berkadar akan diperkenalkan untuk menggalakkan penyertaan aktif operator air di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Kedah,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan ‘Water Loss Asia 2024’ di sini, hari ini.

Fadillah berkata kerajaan turut merancang untuk melaksanakan penyelesaian pengurangan NRW yang komprehensif di Pahang, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Beliau menekankan kepentingan menggunakan sumber dengan lebih cekap, meminimumkan sisa dan memaksimumkan nilai setiap titisan air memandangkan kerajaan menyasarkan untuk mencapai 98 peratus liputan air bersih dan perkhidmatan pembetungan di kawasan luar bandar menjelang akhir tahun depan.

"Inisiatif ini selaras dengan visi Malaysia MADANI untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sambil menyokong matlamat keenam Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 6), yang memberi tumpuan kepada memastikan akses kepada pengurusan air dan sanitasi mampan untuk semua," katanya.

Beliau berkata sehingga 2023, akses kepada bekalan air di kawasan bandar dan luar bandar berada pada 97.1 peratus manakala perkhidmatan pembetungan bersambung meliputi 86.9 peratus di bandar-bandar utama.

Dalam ucapannya, beliau juga menekankan keperluan untuk kerjasama yang lebih kukuh antara agensi kerajaan, pihak berkepentingan, sektor swasta, persatuan dan institusi akademik untuk memacu tindakan kolektif dan menggembleng sumber bagi pengurusan air yang berkesan.

"Dengan memanfaatkan kepakaran kolektif, kreativiti dan sumber pihak berkepentingan yang pelbagai, Malaysia boleh mengorak langkah signifikan dalam mengurangkan kehilangan air bersih yang dirawat semasa pengagihan daripada loji rawatan air kepada pengguna," kata Fadillah.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy