AM

RM7.84 Bilion Diperlukan Bangun Semula Klinik Daif Di Sarawak - Dr Sim

19/11/2024 09:39 PM

KUCHING, 19 Nov (Bernama) -- Sarawak memerlukan RM7.84 bilion untuk membangunkan semula klinik kesihatan yang daif di seluruh negeri ini, kata Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata 76 peratus atau 206 daripada 271 klinik kesihatan di Sarawak berada dalam keadaan fizikal yang teruk.

“Ia termasuk 175 klinik kesihatan, 20 klinik komuniti, sembilan klinik kesihatan ibu dan anak serta dua klinik desa. 

“Bagi kerja-kerja menaik taraf dan pembangunan semula kemudahan hospital, RM9.24 bilion diperlukan menjadikan jumlah keseluruhan RM17 bilion untuk menambah baik kemudahan kesihatan di Sarawak,” katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri berkata kerajaan Persekutuan bersetuju memperuntukkan RM50 juta dengan dana padanan yang disediakan kerajaan negeri bagi pembangunan 12 kemudahan kesihatan daif.

Beliau berkata kesemua projek berkenaan kini berada pada peringkat prapelaksanaan.

Sementara itu, Dr Sim berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah menerima RM2.64 bilion dana operasi dan RM473.39 juta dana pembangunan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) setakat 30 Okt lepas.

Beliau berkata dana itu diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi, pembangunan modal insan, kerja naik taraf kecil serta pembaikan kemudahan kesihatan termasuk perkhidmatan sokongan hospital dan klinik, serta perolehan peralatan perubatan.

“Pada masa ini, terdapat 26,631 petugas penjagaan kesihatan kerajaan termasuk 2,447 yang berkhidmat secara kontrak di Sarawak berbanding 30,373 jawatan yang diluluskan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy