DUNIA

Malaysia Ketengah Teknologi Pembantu Maya Di Forum Digital Di Vietnam

21/11/2024 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Malaysia mencuri perhatian pada Minggu Digital Antarabangsa Vietnam ke-3 2024 (VIDW-2024) dan Persidangan ASEAN 5G ke-5 di Ha Long, Vietnam pada Rabu, dengan pembentangan inovatif yang mengetengahkan teknologi Pembantu Maya (VAS).

Dalam menyokong inovasi ini, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa mengambil alih peranan “Pembantu Maya” untuk membentangkan penggunaan Pembantu Maya dalam sektor awam Malaysia.

"Malaysia meramalkan integrasi Pembantu Maya sebagai komponen penting dalam operasi sektor awam menjelang 2030 kerana ia membantu meningkatkan kecekapan, kebolehcapaian dan konsistensi maklumat," katanya dalam pengenalannya.

Beliau berkata penggunaan teknologi itu didorong oleh faedahnya yang besar dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, termasuk sokongan 24/7.

"Pembantu Maya akan cemerlang dalam mengendalikan pertanyaan dan tugas rutin, sekali gus membebaskan sumber manusia untuk fungsi yang lebih kompleks dan kritikal," katanya.

Pembantu Maya juga memudahkan automasi perkhidmatan rutin dan akan meminimumkan keperluan sumber manusia yang luas dalam sokongan pelanggan dan tugas pentadbiran, katanya.

Mohamad Fauzi berkata sektor awam Malaysia semakin mengguna pakai teknologi VAS, dengan tumpuan pada aplikasi AI Generatif seperti chatbots dan alatan seperti Gemini dan Microsoft CoPilot. 

Jabatan Digital Negara menerajui inisiatif itu dengan menggabungkan chatbots AI di portalnya dan meneroka Pembantu Maya dalam persekitaran Google Workspace untuk meningkatkan produktiviti dalam tugas seperti pengurusan e-mel, pengendalian dokumen dan penciptaan kandungan, katanya.

Mohamad Fauzi turut berkongsi beberapa contoh Pembantu Maya yang diguna pakai dalam sektor awam Malaysia termasuk AI@JDN, chatbot berkuasa AI untuk portal Jabatan Digital Negara dan Abang Tani, chatbot untuk sistem Banci pertanian yang diuruskan oleh Jabatan Perangkaan. 

Contoh lain ialah Dayang, chatbot untuk portal kerajaan negeri Sarawak yang menyediakan akses mudah kepada perkhidmatan dan maklumat kerajaan, katanya.

Avatar maya juga telah dicipta untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) termasuk Aisha, Rhia, Andi dan Melati manakala AiRa adalah deejay maya untuk RTM Music.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy