KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Kaunter tukar topi keledar lama kepada baharu secara percuma yang sentiasa menjadi tarikan pada program MADANI sebelum ini, sekali lagi mendapat sambutan luar biasa pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang berlangsung tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Tinjauan Bernama mendapati orang ramai mula beratur panjang seawal 7.30 pagi di kaunter tukar topi keledar yang disediakan di reruai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Seorang pengunjung Mohd Zyan, 28, berkata ini merupakan kali pertama beliau mendapatkan topi keledar percuma kerana sebelum ini hanya mendengarnya di media sosial.
“Seperti apa yang saya baca sebelum ini, program ini memang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, jadi awal pagi saya sudah keluar rumah di Sungai Buloh, meredah kesesakan lalu lintas yang agak luar biasa hari ini.
“Dan jangkaan saya tepat bila saya sampai tidak lama kemudian, orang ramai telah mula beratur dan dalam beberapa minit sahaja barisan sudah panjang,” katanya ketika ditemui Bernama pada program 2TM di sini, hari ini.
Mohd Zayn berkata program kerajaan dengan konsep mesra rakyat seperti ini sememangnya amat baik kerana rakyat boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan agensi kerajaan dengan lebih mudah selain berpeluang mendapatkan tawaran-tawaran yang menarik.
“Kalau program-program kerajaan yang saya pernah pergi sebelum ini, saya akan ke program kerjaya untuk cari kerja sebab memang akan ada banyak tawaran pekerjaan di situ,” katanya.
Sementara itu Zain Hasan, 64, berkata hasratnya ke program pada hari ini adalah untuk menukar topi keledar baharu kerana topi keledar sedia ada telah lusuh.
“Kita bila dah pencen, program-program seperti inilah yang sedikit sebanyak dapat bantu kita dapatkan apa-apa yang percuma daripada kerajaan macam hari ini dapat topi keledar percuma. Saya maklumkan juga pada anak-anak mana yang berkelapangan untuk datang ke sini awal kerana stok yang ada agak terhad juga.
“Jadi bila dah datang ke sini, dapatlah juga kita bayar saman dan sebagainya. Lokasi program kali ini agak strategik kerana dalam dewan yang ada pendingin hawa, kalau beratur panjang pun tiada masalah,” katanya.
Ketua Bahagian Kanan JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Azharul Izwa Puaadi berkata 5,000 topi keledar disediakan sepanjang tiga hari program ini untuk orang ramai mendapatkan topi keledar yang lebih berkualiti dan baharu.
“Untuk program hari pertama hari ini 1,500 topi keledar disediakan dan pembahagian kita buat dua sesi, iaitu 750 pada sesi pagi manakala sesi petang 750 lagi kita edarkan. Esok 2,000 topi keledar percuma disediakan dan pada Ahad pula 1,500.
“Melihat pada sambutan pengunjung, kita jangka sebelum 12 tengah hari, 750 topi keledar akan habis diedarkan,” katanya.
Program 2TM dianjurkan Pejabat Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berserta Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta pihak berkepentingan.
Perasmian program akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.
-- BERNAMA