Oleh Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Selain cemerlang dalam akademik, kemahiran digital dan minda keusahawanan juga merupakan ciri-ciri penting yang perlu ada pada pelajar serba boleh agar mereka dapat mengharungi cabaran dunia moden hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Taylor's Schools Prof Adjung BK Gan berkata pelajar perlu pantas menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan dunia hari ini dengan memanfaatkan teknologi digital.
Sehubungan itu katanya, tumpuan pendidik adalah pada usaha mempersiapkan pelajar mendepani dunia yang dipacu teknologi, inovasi dan tanggungjawab sosial.
“Kita juga sedang membentuk generasi berfikiran keusahawanan yang akan memerlukan apa juga peranti tersedia untuk dimanfaatkan oleh mereka dan orang-orang sekeliling mereka.
“Ini sebahagian daripada cara untuk mereka kekal relevan dalam dunia yang sentiasa dan akan terus berubah,” katanya pada sesi perbincangan tentang peranan pendidik dalam dunia sekarang, anjuran institusi itu di sini.
pic-2
Gan berkata Taylor’s Schools sendiri telah mentafsir semula pendekatan “3M” dalam pendidikan sebagai “3R” , iaitu "Relevant, Responsible dan Resilient” (relevan, bertanggungjawab dan berdaya tahan”, berbanding "menulis, membaca dan mengira".
Seorang lagi panelis, Peter Derby-Crook MBE, pengetua Garden International School, berkata kecemerlangan akademik perlu disertakan dengan kecerdasan emosi bagi membolehkan pelajar mengaplikasikan pendidikan akademik yang diterima mereka dalam kehidupan seharian.
Simon Mann, pengetua Nexus International School Singapore, pula berpendapat pendidik membangunkan orang muda, bukan produk.
“Oleh sebab itulah kami menyediakan persekitaran yang membolehkan pelajar berhubung sesama sendiri, menjalin perhubungan dan meneroka minat masing-masing.
“Ini adalah tentang kemampuan kita mengaplikasikan ilmu yang kita pelajari kepada situasi baharu dan berbeza. Oleh sebab itulah kemahiran mengurus, menerima dan mempraktik pengetahuan dan pemahaman menjadi sesuatu yang sangat penting pada masa depan,” katanya.
pic-3
Kata beliau, sekiranya proses itu tidak dimulakan di sekolah, kemungkinan besar pelajar tidak akan bersedia sepenuhnya apabila tamat pengajian.
Mengulas lanjut kepentingan kemahiran digital, Pengarah Pembelajaran Digital dan Keusahawanan di Nexus International School Singapore Shoaib Raza berkata kira-kira 90 peratus daripada data yang wujud di dunia hari ini, dihasilkan dalam tempoh dua tahun lalu.
“(Bidang) neurosains menyatakan bahawa otak seseorang individu terbentuk sepenuhnya pada usia 25 tahun, namun memandangkan guru dan pendidik tidak akan ada bersama-sama pelajar (ketika mereka mencapai usia itu), amat penting mereka dilengkapi kemahiran digital dan minda keusahawanan,” katanya.
Beliau juga menekankan kemahiran digital itu perlu disertakan dengan kecerdasan buatan (AI) yang antara lain dapat mengupayakan pelajar berfikir secara kritis.
-- BERNAMA