KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Keindahan batik Malaysia yang malar segar dengan pelbagai motif pada fabrik berkualiti tinggi menjadikan warisan negara itu tidak lapuk dek hujan tidak lekang dek panas.
Kehalusan kesenian dalam pembuatan batik antara sebab pelakon dan usahawan selebriti Bkay Nair merancang untuk menghasilkan filem dokumentari mengenainya sebagai usaha mempromosi dan memelihara warisan dan budaya negara itu.
Selain itu, Bkay atau nama sebenarnya Tryambikay Vengades Nair, 42, juga mahu memastikan kraf tangan yang diperkenalkan ratusan tahun tersebut kekal menjadi identiti negara serta dikenali dunia.
pic-2
"Sebenarnya, kami sudah merancang projek ini sejak tahun lepas, tetapi kadang-kadang kita memang memerlukan masa untuk melaksanakan semuanya.
“Dalam dokumentari itu nanti kami akan menemu bual pembatik-pembatik di seluruh negara yang akan berkongsi cerita tentang seni batik, termasuk disiplin dalam menghasilkan batik, rekaan dan jenis-jenisnya serta pemilihan warna yang digunakan dalam setiap karya," katanya selepas pelancaran pertunjukan fesyen, Malaysian Heritage Showcase 2024 (MHS2024) yang bertemakan ‘6 Yards of Beauty’ Sabtu lepas.
Walaupun penghasilan dokumentari itu mungkin dianggap kecil, pelakon filem Ratu The Movie tersebut berharap usaha berkenaan akan bermanfaat dan menjadi sumber rujukan orang ramai pada masa depan.
pic-3
Sementara itu, Bkay berkata MHS2024 merupakan usaha rintis dalam menghidupkan semula tekstil Malaysia melalui pengenalan Batik Sari, iaitu kain sari dengan corak batik.
Katanya sebanyak 70 rekaan eksklusif daripada sembilan pereka tempatan dengan 33 daripadanya batik sari, diperkenalkan buat pertama kali di platform berkenaan.
“Tujuan utama MHS2024 untuk mempromosikan tekstil Malaysia. Lagipun negara kita belum ada sari ciptaan Malaysia kerana kebanyakan sari yang dijual di negara ini diimport dari India.
pic-4
“Jadi, timbul satu idea untuk kami memperkenalkan sari buatan Malaysia yang menggunakan kain jenis batik, sekali gus menjadi lambang kebanggaan di negara ini,” katanya.
Bkay berkata terdapat 15 rekaan batik sari di bawah jenama My Pride, yang dihasilkan menerusi teknik canting oleh banduan di empat buah penjara, iaitu Machang dan Pangkalan Chepa di Kelantan, Marang di Terengganu serta Kajang, Selangor.
Pelakon filem Raya Tak Jadi ini turut memperkenalkan lapan rekaan batik sari di bawah jenama Bkay Nair yang dihasilkan menerusi mesin, atau batik cetak, dengan reka bentuk beridentitikan budaya Malaysia sepanjang 5.5 meter.
pic-5
Sejajar dengan usaha itu, Bkay mahu mencalonkan batik sari sebagai warisan tidak ketara di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Kami berharap melalui acara ini, kami dapat membawa keunikan warisan kami kepada UNESCO. Pengiktirafan yang diberikan oleh UNESCO berpotensi meletakkan harta seni dan budaya negara kita di peringkat global,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada acara itu, empat anugerah berprestij turut disampaikan bagi menggalakkan inovasi, menghargai kreativiti serta menyokong pereka muda dan banduan, sekali gus memupuk inklusiviti dan mencipta peluang pemulihan melalui seni dan kraf.
Empat anugerah berkenaan ialah Anugerah Visi Muda yang disampaikan kepada pereka muda Sharleen David; Anugerah Keteguhan dalam Rekaan diberikan kepada jenama My Pride; Anugerah Corak Inovatif Terbaik kepada Munir Yahya daripada Dimu Design dan Anugerah Warisan Budaya (Linda Isa).
-- BERNAMA