AM

LTAT Tingkatkan Ekonomi Veteran ATM Menerusi Program Keusahawanan

25/11/2024 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan Program Pemerkasaan Usahawan Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang disertai 35 usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah usaha kolektif semua agensi di bawah Kementerian Pertahanan untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan itu.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kementeriannya akan terus menyokong usaha berkenaan bagi memastikan warga veteran ATM diberikan perhatian dan bantuan sewajarnya sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka. 

"Sekali lagi, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada LTAT atas kejayaan menganjurkan program ini. Kejayaan ini menggambarkan keprihatinan berterusan LTAT terhadap kebajikan komuniti veteran ATM, meskipun mereka tidak lagi mencarum dalam agensi ini. 

"Inisiatif ini menggambarkan pemahaman mendalam LTAT terhadap keperluan komuniti veteran dan komitmennya untuk menyokong usahawan veteran dalam mencapai potensi maksimum serta memperkukuh kedudukan ekonomi," katanya dalam ucapan ketika majlis pelancaran program berkenaan di sini hari ini. 

Selain itu, Adly berkata Program Pemerkasaan Ekonomi Veteran ATM (PUVET ATM) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai 2023 dengan suntikan dana awal RM1 juta juga mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kebajikan veteran ATM. 

"Hasilnya, 10 siri PUVET ATM telah dianjurkan di seluruh Semenanjung dan setakat November ini, kita telah berjaya menyampaikan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah kepada 216 usahawan ATM dengan nilai terkumpul RM1.08 juta di bawah inisiatif berkenaan," katanya. 

 Terdahulu, Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi dalam ucapannya berkata LTAT menjalin kerjasama strategik dengan People Systems Consultancy (PSC), sebuah agensi yang berpengalaman luas dalam bidang latihan dan bimbingan keusahawanan bagi menganjurkan program yang buat kali pertama diadakan itu. 

"Sepanjang tempoh enam bulan, peserta akan mengikuti program pembangunan kapasiti yang komprehensif merangkumi modul latihan keusahawanan bersepadu, sesi bimbingan mentor-mentee, pembelajaran dalam talian dan penguasaan literasi kewangan.

"Fasa pertama program ini telah bermula dengan latihan intensif selama tiga hari pada Jumaat lepas hingga semalam, melibatkan peserta daripada pelbagai bidang perniagaan yang telah menunjukkan keazaman dan kesungguhan luar biasa," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy