AM

Semua Kementerian, Agensi Pelancongan Diseru Kukuhkan Kerjasama Bersama MOTAC - Ahmad Zahid

25/11/2024 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Semua kementerian serta agensi yang berkaitan pelancongan diseru mengukuhkan kerjasama khususnya dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menjadikan sektor itu sebagai agenda nasional yang strategik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama rapat antara kementerian dan agensi amat penting dalam mewujudkan satu ekosistem yang kondusif untuk pembangunan industri pelancongan negara secara lebih pesat dan berdaya saing.

“Ia juga akan membolehkan sebarang isu yang timbul diatasi segera selain mengelakkan kekeliruan dari segi bidang kuasa, kawal selia dan penguatkuasaan khususnya dalam menjayakan penganjuran Kempen Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam kenyataan susulan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) yang dipengerusikan Ahmad Zahid hari ini.

Beliau berkata MOTAC bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) juga telah mengadakan perbincangan berkaitan isu pengoperasian bas persiaran termasuk langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kemalangan jalan raya melibatkan warga asing.

Perbincangan tersebut katanya turut merangkumi penyelarasan pelan komunikasi serta penetapan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan situasi itu dapat ditangani dengan cekap dan berkesan.

“Kerajaan telah menetapkan bahawa MOT melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengawal selia pelesenan kenderaan pelancongan berdasarkan empat kriteria utama.

“Antaranya, kenderaan mestilah memiliki lesen Pengendalian Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) yang sah, dipasang dengan sistem kedudukan sejagat (GPS), mematuhi had usia kenderaan maksimum 15 tahun serta memastikan pengendali menghadiri latihan Kod Amalan Industri (ICOP) Keselamatan. 

"Syarat-syarat ini bertujuan untuk memastikan pengendali beroperasi secara sah sekali gus menjamin keselamatan penumpang,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata satu garis panduan baharu akan dibentangkan pada Mesyuarat Kabinet bagi menyediakan kerangka kerja komprehensif serta mengawal selia aktiviti Penginapan Sewaan Jangka Pendek (STRA).

"Garis panduan ini memastikan pematuhan kepada perundangan semasa, memudahkan proses pelesenan dan menangani isu gangguan komuniti seperti bunyi bising, kekurangan tempat letak kereta, pembuangan sampah serta penyalahgunaan fasiliti bersama," katanya.

Beliau berkata STRA yang menyediakan alternatif penginapan mampu milik, dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dengan unjuran ketibaan 35.6 juta pelancong menjelang 2026.

Pengoperasian STRA juga akan mewajibkan pemilik premis untuk mendaftar dan mendapatkan lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), katanya.

"Pembangunan sebuah platform digital khusus untuk pengurusan STRA turut dicadangkan bagi memastikan daya saing Malaysia dalam sektor pelancongan terus dipertingkat selain menjaga kesejahteraan komuniti, memastikan keselamatan awam serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata garis panduan perancangan Taman Kenderaan Rekreasi (RV Park) bertujuan untuk memperkukuh sektor pelancongan Malaysia secara strategik dan kawal selia yang bersepadu.

Menurutnya garis panduan itu menyediakan kerangka perancangan menyeluruh termasuk keperluan tapak, pengurusan operasi serta kelulusan pembangunan taman RV dengan lokasi berpotensi di Rompin dan Sepang sebagai projek perintis.

“Inisiatif ini turut memanfaatkan teknologi melalui platform MYCSRVP (Malaysia Campsite and Recreational Vehicle Park) yang berfungsi untuk meningkatkan ketelusan, memastikan pematuhan standard dan memudahkan pengurusan taman kenderaan rekreasi.

"Langkah ini secara langsung menyokong agenda pelancongan mampan dan memperkasakan ekonomi tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy