KUANTAN, 27 Nov (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Murdani Ab Rahman yang ditemukan lemas semalam.
Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
"Baginda berdua turut berharap agar segala urusan dipermudah dan keluarganya tabah atas kehilangan insan yang tersayang," menurut hantaran itu.
Kehilangan Murdani turut mendapat perhatian Al-Sultan Abdullah yang berangkat meninjau operasi mencari dan menyelamat guru penolong kanan kokurikulum itu pada Isnin lepas.
Murdani, 53, yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan, Chenor ditemukan lemas semalam selepas dilaporkan terjatuh ketika memancing di rumah rakit, Jeti Chenor, Maran pada Ahad.
-- BERNAMA