KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas tanpa membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah daripada enam pertuduhan pecah amanah melibatkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 billion.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Seri K.Kumaraendran, masing-masing mewakili Najib dan Mohd Irwan agar anak guam mereka dilepas tanpa dibebaskan.
"Berdasarkan fakta dan hujahan daripada kedua-dua peguam serta keadaan kes ini, saya menggunakan kuasa sedia ada untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh pertama (Najib) dan tertuduh kedua (Mohd Irwan) daripada keenam-enam pertuduhan,” kata hakim itu.
Muhammad Jamil dalam penghakiman ringkasnya berkata terdapat tiga alasan yang dipertimbangkan oleh mahkamah ketika membuat keputusan berkenaan.
"Alasan pertama ialah pihak pendakwaan tidak mematuhi sepenuhnya peruntukan di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan yang kedua, perintah lepas tanpa bebas tidak memprejudiskan pihak pendakwaan kerana mereka boleh menuduh semula kedua-dua tertuduh.
"Ketiga, kes ini didaftarkan pada 2018 namun perbicaraan tidak dapat diteruskan walaupun tarikh perbicaraan telah ditetapkan beberapa kali kerana pihak pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya peruntukan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah. Ini adalah satu kelewatan yang melampau," kata hakim itu.
Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan bahawa pihak pendakwaan wajib menyerahkan dokumen tertentu kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.
Hakim Muhammad Jamil turut memerintahkan wang jaminan RM1 juta masing-masing dikembalikan kepada Najib dan Mohd Irwan.
Terdahulu Muhammad Shafee dan Kumaraendran berhujah mahkamah boleh menggunakan kuasa sedia ada untuk memerintahkan perintah DNAA (lepas tanpa bebas) walaupun tiada permohonan dibuat oleh pihak pendakwaan atas alasan pendakwaan masih gagal menyerahkan dokumen yang dimohon pembelaan.
"Kes ini telah berlarutan terlalu lama, sudah enam tahun, saya harap Yang Arif akan buat satu keputusan mengenainya hari ini," said Kumaraendran.
Isnin lepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata pihak pendakwaan tidak mempunyai kawalan terhadap dokumen sulit yang akan dinyahklasifikasi sebelum digunakan dalam perbicaraan itu kerana ia tertakluk kepada agensi yang mempunyai dokumen tersebut.
Dokumen itu melibatkan dokumen mesyuarat Kabinet, Kementerian Kewangan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (kini Agensi Pengangkutan Awam Darat) di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan.
Perbicaraan kes itu telah ditangguhkan empat kali pada tahun ini iaitu pada 4 dan 19 Jun, 22 Julai dan 25 Nov, untuk memberi masa kepada pihak pendakwaan menyahklasifikasikan dokumen sulit sebelum diserahkan kepada pihak pembelaan.
Ini merupakan permohonan kedua Najib dan ketiga bagi Mohd Irwan Serigar untuk mereka dilepaskan tanpa dibebaskan daripada enam pertuduhan itu manakala Najib telah membuat permohonan untuk penangguhan kekal prosiding perbicaraan kes itu pada 25 Nov, namun ditolak oleh mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama, Najib, 71, dan Mohd Irwan Serigar, 67, didakwa bersama-sama sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia, masing-masing dalam kapasiti tersebut, diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta itu iaitu sejumlah RM1.2 billion milik kerajaan Malaysia, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.
Mengikut pertuduhan kedua, Najib dan Mohd Irwan Serigar didakwa bersama-sama atas jawatan sama yang diamanahkan dengan harta sejumlah RM655 juta milik Kerajaan Malaysia, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut.
Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa bersama-sama atas jawatan serupa melakukan pecah amanah iaitu sejumlah RM220 juta, peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)”, milik Kerajaan Malaysia.
Bagi pertuduhan keempat, kedua-dua tertuduh juga didakwa bersama-sama atas jawatan sama melakukan pecah amanah sejumlah RM1.3 bilion, peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik Kerajaan Malaysia.
Bagi pertuduhan kelima dan keenam, Najib dan Mohd Irwan Serigar didakwa bersama-sama atas jawatan serupa melakukan pecah amanah sejumlah CNY1,950,000,000 (bernilai RM1,261,065,000) dan RM2 bilion milik Kerajaan Malaysia.
Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 21 Dis 2016 bagi pertuduhan pertama dan kedua, pada 3 Ogos 2017 pertuduhan ketiga manakala pertuduhan keempat hingga keenam pada 10 Ogos 2017, 23 Ogos 2017 dan 18 Dis 2017 .
Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu Mohd Irwan Serigar ketika ditemui pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berkata beliau bersyukur selepas enam tahun dua bulan, kes yang dihadapinya selesai.
“Alhamdulillah mahkamah membuat keputusan yang tepat. Saya yakin tiada kes terhadap saya kerana semua dilakukan mengikut prosedur kerajaan. Semoga saya dapat pergi mengerjakan umrah selepas ini,” katanya.
Kumaraendran pula berkata beliau gembira dengan keputusan hari ini dan berharap pihak pendakwaan tidak meneruskan kes tersebut.
“Ini adalah keputusan tepat kerana anak guam saya menderita selama enam tahun untuk menunggu perbicaraan kes ini dan akhirnya kes ini selesai,” kata peguam itu.
-- BERNAMA