KOTA BHARU, 27 Nov (Bernama) -- Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja di sini yang telah melepasi paras bahaya, malam ini mula melimpah ke kawasan menempatkan premis gerai makanan berdekatan.
Tinjauan Bernama malam ini mendapati, rata-rata peniaga bertindak mengemas dan memindahkan kerusi dan meja makan serta barangan perniagaan masing-masing bagi mengelakkan dihanyut arus deras.
Sebelum ini, paras air sungai berkenaan dilaporkan normal namun setelan hujan sangat lebat berterusan menyebabkan ia melimpah ke daratan.
Seorang peniaga makanan Zakaria Abdullah, 47, berkata kali terakhir paras air sungai berkenaan naik adalah pada banjir besar tahun 2014.
“Pagi tadi saya periksa paras air sungai normal namun hujan berterusan menyebabkan paras air semakin naik ke darat secara berperingkat.
“Disebabkan itu, saya terpaksa mengemas dan memindahkan kerusi dan meja makan plastik termasuk segala barangan dapur serta makanan untuk dibawa pulang, elakkan daripada hanyut dibawa arus deras,” katanya kepada Bernama di Menara Tinjau Tambatan D'Raja, di sini, malam ini.
Peniaga Satay Nik Azli Nik Azman, 39, berkata dia hanya mengetahui paras air sungai itu naik selepas melihat video yang ditularkan di aplikasi TikTok.
“Saya agak terkejut melihat video itu lalu terus menghubungi rakan seperniagaan untuk mengetahui status sungai itu.
“Apabila dimaklumkan, saya segera ke kedai dan mengemaskan barangan meniaga seperti tong gas, peralatan memasak termasuklah kerusi dan meja makan,” katanya sambil menambah tidak sanggup mengalami kerugian besar seperti yang pernah dilalui pada banjir besar 2014.
Nik Azli berkata pada banjir besar lepas, apabila Sungai Kelantan melimpah ke pusat Kota Bharu ia akan menyebabkan pusat bandar itu lumpuh sepenuhnya.
Sebelum itu, tinjauan Bernama pada petang tadi juga mendapati sebuah rumah bot yang ditambat menggunakan tali di menara tinjau berkenaan, telah dihanyutkan arus deras sungai itu dan musnah sepenuhnya.
Saksi kejadian Amir Aiman Nazri berkata dia sedang merakam sungai itu dari atas, tiba-tiba terdengar bunyi kuat seakan kayu patah.
“Apabila dilihat, rupanya rumah bot yang ditambat telah dihanyutkan dalam sekelip mata. Nasib baik ketika kejadian itu, tiada orang di dalamnya,” katanya.
Hari ini, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya hingga Jumaat, dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang.
-- BERNAMA