AM

Mangsa Banjir Di Kelantan, Terengganu Terus Meningkat Pagi Ini

28/11/2024 09:40 AM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir terutama di dua negeri di Pantai Timur, Terengganu dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan mendadak pagi ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 29,023 berbanding 21,568 yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam semalam.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 11,698 di 40 PPS, diikuti Tanah Merah seramai 3,224 (22 PPS) dan Kuala Krai seramai 2,826 ditempatkan di 25 PPS.

Selain itu, di Pasir Puteh membabitkan 2,757 mangsa di 16 PPS, Tumpat seramai 2,405 di tujuh PPS, Kota Bharu 2,157 mangsa di 17 PPS, Bachok menempatkan 1,433 orang di enam PPS, Machang seramai 1,750 di 12 PPS dan di Jeli, 773 mangsa berada di enam PPS.

Sementara itu situasi banjir di TERENGGANU juga terus memburuk dengan jumlah mangsa direkodkan meningkat kepada 8,215 berbanding 3,768, 8 malam, semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Negeri memaklumkan daerah paling teruk terjejas iaitu Besut merekodkan 3,205 mangsa daripada 838 keluarga yang berlindung di 51 PPS; manakala Hulu Terengganu mencatatkan 2,039 mangsa (713 keluarga) di 32 PPS.

Di Setiu, seramai 2,022 mangsa (577 keluarga) berada di 28 PPS, di Kemaman 503 mangsa (141 keluarga) di 14 PPS, Dungun 344 mangsa (102) keluarga di lima PPS; manakala di Marang seramai 102 mangsa (27 keluarga) di dua PPS.

Paras air sungai di 13 stesen seluruh negeri juga direkodkan melebihi paras bahaya antaranya Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu, Sungai Besut di Jambatan Jerteh, Besut; Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun, Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu, dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Kemaman.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 569 daripada 197 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 52 daripada 16 keluarga, malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari daerah Kubang Pasu dan Sik kini ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).

“Lima lagi PPS baharu dibuka di Kubang Pasu, menjadikan keseluruhan enam PPS dibuka di daerah itu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, SMK Binjai, Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Batu 8, SK Sultan Ahmad Tajuddin, SK Malau dan Dewan PPK Lubuk Batu yang menempatkan seramai 535 mangsa daripada 184 keluarga.

“Sementara di Sik, seramai 34 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di Dewan KEDA Kota Aur yang dibuka sejak semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir juga mencatatkan peningkatan kepada 243 daripada 69 keluarga, berbanding 149 daripada 43 keluarga, malam tadi.

Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata jumlah mangsa banjir dari kawasan Arau merekodkan seramai 121 orang yang kini berada di PPS SK Guar Nangka dan PPS SK Arau iaitu masing-masing berjumlah 71 orang dan 50 orang.

Sementara itu, di PERAK jumlah mangsa banjir kekal 20 daripada tujuh keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Parit Aman di Kerian, setakat 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Perak menerusi kenyataan memaklumkan mangsa membabitkan penduduk dari kawasan terjejas iaitu Kampung Parit Ali Kalang dan Kampung Parit Air Itam 2 di daerah berkenaan.

Jabatan Pengairan dan Saliran pula memaklumkan aras air Sungai Rui di Jambatan Jalan Raya Perak (RHN) dalam daerah Hulu Perak berada pada paras 166.02 meter, melepasi tahap bahaya.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kekal 28 orang daripada lapan keluarga yang ditempatkan di PPS Balai Raya Batu Badak, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata setakat pagi ini, dua sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Tiram di Kampung Bukit Dagang, Johor Bahru dan Sungai Paya Dato, Mersing.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy