KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga taikun perniagaan Tan Sri Ananda Krishnan yang meninggal dunia hari ini.
Beliau berkata sebagai tokoh korporat, sumbangan mendiang kepada pembangunan negara tidak dapat dinafikan dan amat dihargai.
"Takziah kepada seluruh anggota keluarga Pengerusi Usaha Tegas Sdn Bhd Tan Sri Ananda Krishnan atas pemergian beliau hari ini. Semoga keluarga mendiang Tan Sri diberi kesabaran dan ketabahan di saat duka ini. May his soul rest in peace," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Berita kematian Ananda, 86, disahkan oleh syarikat pegangan pelaburan yang diterajui mendiang iaitu Usaha Tegas Sdn Bhd menerusi satu kenyataan.
Ananda, atau nama penuhnya Tatparanandam Ananda Krishnan atau T. Ananda Krishnan, adalah antara tokoh perniagaan terkemuka Malaysia dan disenaraikan sebagai seorang daripada individu terkaya di negara ini.
Lulusan Harvard Business School itu memulakan Usaha Tegas sebelum mengasaskan Maxis Communications dan MEASAT Broadcast Network Systems.
Kepimpinan beliau telah mendorong Maxis menjadi antara penyedia telekomunikasi terkemuka di Malaysia.
-- BERNAMA