AM

Penternak Rusa Di Pasir Mas Bimbang Kandang Ternakan Tenggelam

30/11/2024 11:42 AM

PASIR MAS, 30 Nov (Bernama) -- Seorang penternak bimbang kandang rusa miliknya di Kampung Apam Kepas Lati, di sini akan ditenggelami banjir jika hujan lebat sejak empat hari lepas masih berterusan.

Nik Hashim Nik Nordin, 51, berkata ketika ini sebahagian besar kawasan kandang berkeluasan 0.4 hektar yang menempatkan 40 ekor rusa itu, telah dinaiki air sedalam setengah meter.

Beliau berkata nilai keseluruhan rusa jenis Timorensis, Axis dan Nilgai yang terdapat di kandang itu kira-kira RM100,000 dan dia mempunyai pelanggan dari seluruh negara termasuk memasarkannya menerusi media sosial.

“Sekarang saya bina platform daripada batang kayu yang saya letakkan di satu kawasan kandang supaya tempat itu jadi tinggi dan semua rusa berkumpul di kawasan itu sekarang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Nik Hashim berkata ini kali pertama kawasan kandang rusa miliknya dilanda banjir sejak mengusahakannya sembilan tahun lepas dan dia berharap hujan berhenti serta air surut sekurang-kurangnya bagi memudahkan membina platform lebih tinggi untuk haiwan ternakannya berlindung.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke kandang rusa berkenaan mendapati haiwan itu berkumpul di satu kawasan yang tinggi dan kandang itu dikelilingi pagar setinggi kira-kira 2.5 meter.

Selain itu, jalan masuk ke Kampung Apam Kepas juga dinaiki air, namun masih boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan berat dengan trak pasukan penyelamat dilihat keluar masuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk.

Ini berikutan sebahagian rumah di kawasan berkenaan tidak dinaiki air dan ramai penduduk dilihat keluar memantau keadaan paras air dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy