Oleh V. Sankara
KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Bekas Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A Thaiveegan menyifatkan mendiang Ananda Krishnan sebagai seorang yang merendah diri dan sering melaksanakan inisiatif untuk pembangunan masyarakat secara senyap tanpa sebarang publisiti.
Thaiveegan yang mengetuai pasukan polis Pulau Pinang pada 2018 sebelum bersara pada 2019 berkata peluang bertemu dengan taikun perniagaan itu apabila Ananda melawat anaknya di sebuah Biara Buddha di negeri itu.
Beliau berkata dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibir tokoh perniagaan terkemuka Malaysia itu, Ananda cukup sopan ketika berbicara, sering bertanyakan kebajikan awam, tugas-tugas anggota polis, kadar jenayah serta tindakan diambil untuk menangani isu yang timbul di negeri berkenaan.
“Soalan-soalan beliau mencerminkan keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat,” katanya kepada Bernama dalam satu kenyataan sambil menyifatkan pemergian Ananda sebagai satu kehilangan besar buat negara.
Ananda yang meninggal dunia pada usia 86 tahun Khamis lepas, mengasaskan syarikat pelaburan utama Usaha Tegas Sdn Bhd pada 1984 yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada legasinya.
Berkongsi kenangan indahnya tentang figura itu, Thaiveegan berkata mendiang adalah seorang yang berdedikasi terhadap pembangunan negara terutamanya dalam sektor perniagaan.
“Mendiang Ananda Krishnan telah memainkan peranan penting dalam penubuhan syarikat-syarikat besar seperti Astro dan Maxis, yang menyediakan peluang pekerjaan kepada ratusan individu serta menyokong pelbagai perniagaan,” katanya.
Thaiveegan juga menekankan usaha kebajikan dilakukan Ananda, termasuk menyokong organisasi bukan kerajaan dan program latihan belia yang menunjukkan dedikasinya dalam membina masyarakat bertanggungjawab.
“Kehilangannya merupakan satu kerugian besar buat kita. Beliau ialah seorang tokoh yang unggul dan mengambil masa lama sebelum kita melihat seorang lagi rakyat Malaysia berketurunan India setanding dengan beliau,” katanya yang kini merupakan Profesor Adjung di Universiti Cyberjaya.
Sementara itu, pegawai khas di Jabatan Perdana Menteri Poobalan Murugesan turut berkongsi pengalaman bekerja di bawah yayasan milik jutawan itu dari 2008 hingga 2017.
Beliau berkata Ananda telah membiayai pengajiannya melalui yayasan berkenaan dan sering menggalakkannya untuk bekerja dengan kejujuran dan integriti.
“Ananda melayan pekerjanya dengan penuh hormat tetapi tetap tegas dengan kami. Beliau menyokong pelbagai inisiatif pendidikan dan pembangunan masyarakat dengan murah hati, menyediakan bantuan kewangan yang signifikan,” katanya.
Menurut Poobalan, usaha Ananda yang dilakukan tanpa publisiti tetap dipenuhi dengan dedikasi dan tujuan yang jelas.
“Saya amat berterima kasih kepadanya atas peluang dan sokongan diberikan kepada saya,” katanya.
Pengarah dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Syarikat Lotus yang terkenal dengan rangkaian restoran India, pawagam dan pengedaran filem Datuk R Ramalingam menyifatkan Ananda yang dikenalinya sejak 1990-an itu sebagai tokoh hebat yang banyak menyumbang kepada masyarakat, pendidikan dan negara.
Beliau menyifatkan Ananda sebagai seorang yang tidak pernah mencari publisiti untuk kebaikan dilakukannya terhadap masyarakat dan percaya kepada pemberian ikhlas tanpa mengharapkan balasan.
-- BERNAMA