JENAYAH & MAHKAMAH

Kerani Kedai Emas Rugi RM2.65 Juta Terperdaya Pelaburan Tidak Wujud

01/12/2024 10:48 AM

JOHOR BAHRU, 1 Dis (Bernama) -- Seorang kerani kedai emas mengalami kerugian RM2.65 juta selepas mendakwa terperdaya dengan pelaburan dalam talian pada Ogos lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata wanita berusia 49 tahun itu melihat iklan pelaburan berkenaan di platform media sosial dan telah menekan pautan pada iklan itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Beliau berkata mangsa kemudiannya telah dihubungi beberapa individu yang memberi penerangan mengenai pelaburan yang dianjurkan dengan pulangan sehingga sembilan peratus daripada jumlah pelaburan.

“Pada pertengahan Oktober lepas, mangsa membuat pelaburan awal sebagai percubaan berjumlah RM100,000 dan menerima keuntungan RM12,100, menyebabkan dia berasa yakin bahawa pelaburan itu adalah betul dan boleh menjana keuntungan.

“Susulan itu, mangsa berhasrat untuk mendapatkan keuntungan lebih banyak dan telah mengikut arahan suspek dengan memasukkan wang berjumlah RM2,656,600 daripada akaun bank miliknya serta pasangan ke beberapa akaun bank berbeza, antara Oktober hingga akhir bulan lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Bagaimanapun, Kumar berkata mangsa tidak menerima sebarang pulangan atas pelaburan itu, sebaliknya dia diarahkan untuk membuat pelbagai bayaran lain, sebelum wang keuntungan dibayar dan wang pokok dikembalikan.

“Hal itu menyebabkan mangsa syak telah ditipu sebelum membuat laporan polis di Batu Pahat, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy