EKONOMI

GLIC Tambah Baik Tatakelola Proses Penilaian Pelaburan Dan Pemantauan Berterusan

02/12/2024 01:42 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan terus melaksanakan penambahbaikan tatakelola dari segi proses penilaian pelaburan dan pemantauan yang berterusan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Sehubungan itu, beliau berkata penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850), yang mengandungi komponen utama pengurusan dasar fiskal termasuk pengurusan risiko fiskal yang lebih cekap,  merupakan langkah penting dalam usaha negara ke arah meningkatkan disiplin fiskal dan memastikan kestabilan makroekonomi. 

“Oleh itu, akta ini antara lain juga menetapkan sasaran jaminan kewangan sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar tidak melebihi 25 peratus bagi mengekang peningkatan liabiliti yang perlu ditanggung kerajaan,” kata Amir Hamzah dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Judiet Fidilis @ Noraini Idris mengenai bagaimana prinsip kebertanggungjawaban fiskal dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (2023) dapat meningkatkan rasionalisasi pelaburan wang awam yang dilakukan agensi kerajaan dengan mengambil iktibar daripada kerugian pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet.

“Mengambil iktibar daripada kerugian FashionValet, Khazanah dan PNB terus peka terhadap risiko dalam landskap pelaburan pemula yang dinamik, dan akan memastikan pengurusan risiko yang efektif, dengan prinsip kebertanggungjawaban dalam proses pelaburan melalui penilaian terperinci dan ketekunan wajar, termasuk pertimbangan rasional pelaburan, penilaian dan pulangan yang wajar,” katanya. 

Amir Hamzah berkata kerajaan juga sedang melaksanakan langkah pembaharuan institusi dan tatakelola bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan memastikan pelaburan memberi nilai faedah terbaik.

Antara langkah yang telah dan akan dilaksanakan termasuk pengenalan garis panduan mengenai pengurusan dan tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BPP) untuk menambah baik pengurusan dan tatakelola BBP, katanya.

“Selain itu, adalah penambahbaikan kerjasama awam-swasta seperti yang digariskan di bawah Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2030 (PIKAS 2030) yang menekankan mekanisme pembayaran oleh pengguna,” kata Amir Hamzah. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy