EKONOMI

Bank Terus Lancar Bantuan Banjir Untuk Pelanggan Terjejas

02/12/2024 02:28 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kumpulan Perbankan RHB (RHB) melancarkan program bantuan banjir dengan memberikan bantuan kewangan segera dan sokongan pemulihan jangka panjang kepada individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro PKS bermula sekarang sehingga 31 Jan 2025.

Menurut RHB, pelanggan PKS yang tidak terlibat dalam program penyusunan semula atau penjadualan semula boleh memohon untuk bantuan pembayaran sehingga enam bulan (Januari hingga Jun 2025) untuk pelbagai kemudahan pembiayaan termasuk Sewa Beli/-i, Pinjaman Pembiayaan/-i, faedah/profit Overdraf/-i, pembayaran bil Multi Trade Line/-i.

“Mereka juga boleh memohon Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) dengan PMKS boleh mengakses pembiayaan sehingga RM700,000 pada kadar istimewa untuk membantu pemulihan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut RHB, pelanggan Individu yang layak boleh memohon pilihan bantuan seperti penangguhan pembayaran sehingga enam bulan (Januari hingga Jun 2025) untuk pembiayaan perumahan, Pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB)/Pembiayaan-i, Pinjaman Peribadi/Pembiayaan-i, dan Pembiayaan Sewa Beli/-i.

“Mereka juga boleh memohon pengecualian caj lewat bayar, faedah/caj pengurusan pada Kad Kredit/-i yang terjejas, sehingga RM500 (Januari hingga Jun 2025). Pengecualian juga diberi untuk yuran penggantian Kad ATM, Kad Debit/-i, dan Kad Kredit/-i,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.rhbgroup.com/-/media/pdf/flood-relief-assistance-2024-faq.pdf.

Sementara itu, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) berkata ia bersedia untuk memberikan sokongan kepada semua pelanggan melalui bantuan pembiayaan yang sedia ada.

Dalam kenyataan berasingan, katanya ia bersedia untuk menyokong PMKS yang memerlukan pembiayaan tambahan melalui DRF.

“Kemudahan tersebut menawarkan pembiayaan sehingga RM700,000 untuk PKS dan RM150,000 untuk perusahaan mikro, dengan kadar pembiayaan yang kompetitif 3.5 peratus setahun (termasuk yuran jaminan) dan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun,” katanya.

SME Bank menggesa pelanggan yang terjejas akibat banjir untuk menghubungi pengurus perhubungan masing-masing atau Pusat Panggilan Pelanggan Bank di 03-2603 7700.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy