EKONOMI

RHB Investment Bank Jual Kepentingan Ekuiti Dalam Rhb Securities Thailand

25/11/2024 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd, anak syarikat milik penuh RHB Bank Bhd, akan melepaskan kira-kira 99.95 peratus kepentingan ekuitinya dalam RHB Securities (Thailand) Public Company Ltd serta keluar daripada pasaran pembrokeran saham dan sekuriti Thailand.

Bank itu melalui satu kenyataan hari ini berkata pelupusan itu sejajar dengan fokus strategik jangka panjangnya untuk mengoptimumkan modal, menyelaraskan sumber selain mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran teras.

Pelupusan tersebut dijangka selesai menjelang suku keempat 2024, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan syarat lazim yang lain.

“Urus niaga itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham yang besar dalam RHB Bank,” tambahnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy