KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Ketabahan graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Aisah Jamuri, 24, yang berjaya menggenggam ijazah Bacelor Pengurusan Alam Sekitar dengan Kepujian walaupun terpaksa menggalas tanggungjawab besar menjaga ibu yang sakit saraf dan kakaknya yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), wajar dijadikan contoh.
UPM dalam kenyataan berkata anak bongsu daripada empat beradik itu tidak hanya bertanggungjawab menguruskan makan, minum, serta kebersihan ibu dan kakak, malah turut berhadapan dengan cabaran logistik yang sukar.
Ketika pandemik COVID-19, Nur Aisah memanfaatkan kelonggaran pembelajaran dalam talian bagi memastikan beliau dapat terus menjaga keluarga tercinta di rumah, namun terpaksa ulang-alik dari UPM ke Kuala Selangor para pelajar perlu kembali ke kampus, menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, keletihan dan kesukaran yang dihadapi tidak mematahkan semangat Nur Aisah yang menganggapnya sebagai ujian yang perlu ditempuh demi kelangsunagn keluarga dan impian akademik.
“Saya kerja, belajar dan bertanggungjawab menjaga ibu dan kakak. Penat itu memang ada, tetapi kita harus positif. Cuba bersyukur dengan apa yang kita ada dan harungi sahaja cabaran yang diberi,” kata Nur Aisah dalam kenyataan sama.
Pada 30 Nov, Bernama melaporkan seramai 6,056 graduan menerima ijazah masing-masing iaitu 608 graduan Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (1,509), Sarjana Muda (3,934) dan Diploma (lima) pada konvokesyen tahun ini yang akan berlangsung tujuh hari hingga 6 Dis ini di Pusat Kebudayaan dan Kesenian UPM.
Majlis Konvokesyen ke-48 Sidang 1 UPM Kampus Bintulu telah berlangsung pada 2 dan 3 Nov lepas di Dewan Sri Kenyalang UPM Kampus Sarawak (UPMKB) dengan 473 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.
-- BERNAMA