JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Tercampak Dari Bonet Kereta: Lelaki Dipenjara 10 Tahun Tuduhan Cuba Bunuh

02/12/2024 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Bekas pekerja restoran makanan segera dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sebuah kereta dan cuba membunuh seorang lelaki dengan memandu secara berbahaya sehingga mangsa yang berpaut pada bonet tercampak dan cedera parah.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan cubaan membunuh dan empat tahun penjara untuk pertuduhan mencuri kereta terhadap Muhammad Wan Azhar Azman, 20, dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 24 Okt lepas.

Izralizam turut menasihati Muhammad Wan Azhar supaya insaf dan menjalani kehidupan dengan baik selepas tertuduh selesai menjalani hukuman serta tidak mengulangi kesalahan sama.

"Kesalahan dilakukan oleh kamu serius iaitu cubaan membunuh dan mangsa mengalami kecederaan sangat serius apabila dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dan menerima rawatan yang lama. Sekiranya beliau (mangsa) meninggal dunia, ini boleh menyebabkan kamu boleh dituduh membunuh namun disebabkan mangsa tidak meninggal dunia kamu dituduh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Mahkamah mengambil kira kesalahan serius ini perlu diberikan pertimbangan sewajarnya sebagai isyarat kepada masyarakat luar bahawa kesalahan seperti ini tidak boleh diberikan toleransi yang ringan sehingga kesalahan ini berleluasa. Oleh itu, kepentingan awam perlu diutamakan daripada kepentingan tertuduh," kata hakim itu.

Muhammad Wan Azhar didakwa mencuri sebuah kereta jenis Honda Civic kepunyaan D. Joshua Jeyaseelan, 30, di lampu isyarat Lebuh Perdana Timur, Presint 15, Putrajaya pada 3.40 hingga 4 petang, 23 Okt lepas dan dituduh mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta boleh didenda.

Tertuduh juga didakwa memandu kereta itu secara berbahaya sehingga menyebabkan rakan kongsi Joshua iaitu Mohamed Jalil Iskandar, 28, yang berpaut pada bonet kenderaan itu tercampak dan cedera parah.

Berdasarkan fakta kes, pada 22 Okt lepas, Joshua telah menyewakan keretanya kepada teman wanita tertuduh dan perlu dipulangkan semula keesokannya namun selepas tamat tempoh sewaan, pengadu menghubungi wanita itu beberapa kali namun gagal.

Pengadu cuba mendapatkan lokasi melalui GPS Tracker dan mendapati kereta itu berada di Presint Diplomatik, Putrajaya dan pada 23 Okt 2024 Joshua dan Mohamed Jalil  tiba di bulatan Presint 14, mereka mendapati kereta itu dipandu tertuduh menggunakan nombor plat berbeza dan teman wanitanya turut berada di dalam kereta.

Mohamed Jalil meminta tertuduh memberhentikan kereta namun dia mengundurkan kenderaan itu lalu cuba melanggar mangsa menyebabkan lelaki itu melompat ke atas bonet untuk mengelak dilanggar sebelum tercampak ke atas jalan.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi, tarikh dan masa sama, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memohon hukuman penjara maksimum 20 tahun kerana kesalahan itu serius menyebabkan mangsa mempunyai masalah untuk berjalan dan mengalami kecederaan lecur pada badannya manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy