GAYA HIDUP

N.Flying Pukau Peminat Malaysia Di Zepp KL

02/12/2024 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Meskipun kekurangan seorang ahli ketika menjayakan debut mereka di Zepp Kuala Lumpur malam tadi, kumpulan K-pop N.Flying tetap memukau dengan kemantapan suara mereka yang diiringi muzik rancak selama tiga jam konsert berlangsung.

Aksi bertenaga serta kelunakan suara empat anak muda itu jelas berjaya menghiburkan kira-kira 1,600 penonton yang masing-masing hadir dengan mengenakan baju berwarna merah gelap dan hitam mengikut tema konsert.

Membuka tirai persembahan dengan lagu hit mereka Flowerwork, kemunculan Lee Sung Hyub, Yoo Hwe-Sung, Cha Hun dan Seo Dong-Su di atas pentas membuatkan peminat menyalakan "lightstick" sambil ikut menyanyi bersama-sama dengan artis kegemaran mereka.

Kebijaksanaan empat anak muda itu berinteraksi dengan penonton sejak konsert bermula pada 6.30 petang itu turut menjadikan suasana dalam dewan meriah sepanjang persembahan berlangsung. 

“Malaysia! Apa khabar sayang? Mantap!” merupakan antara berapa patah ayat yang dilontarkan oleh kumpulan pop Korea Selatan itu dan disambut sorakan gemuruh peminat yang teruja melihat kumpulan idola mereka cuba bertutur dalam bahasa Melayu.

pic-2

Malah, N.FLying turut melayan permintaan peminat agar mengulangi lantunan dua buah lagu, iaitu Awesome yang dilancarkan pada 2016 dan The Real (2020).

Kumpulan itu juga berjanji untuk datang sekali lagi membuat persembahan di negara ini apabila pemain dram mereka, Kim Jae Hyun selesai menjalani latihan ketenteraan.

Jelas tidak puas menyaksikan persembahan kumpulan kegemaran mereka, dewan itu bergema dengan laungan "encore" daripada peminat pada penghujung konsert, meminta lagu seterusnya sekalipun telah mendengar dendangan lebih 20 lagu.

Antara lagu yang dinyanyikan dalam konsert tersebut ialah Video Therapy, Born to Be, Star, Blue Moon, Rooftop, RUN dan Stand by Me.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy