KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pelajar yang tidak dapat menghadiri Ujian Lisan Bahasa Melayu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam akibat banjir diberi kelonggaran untuk mengambil peperiksaan itu hingga Khamis ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata langkah itu bagi memastikan kesemua calon yang terkesan tidak ketinggalan dalam menduduki peperiksaan penting berkenaan.
“Keluwesan (pendekatan fleksibel) itu kita buat sehingga dapat memastikan semua calon dapat menghadiri peperiksaan tanpa sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pameran Wacana Kejayaan Semasa Program Pemberian Baucar Buku MADANI di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Ujian Bertutur Bahasa Melayu bagi peperiksaan SPM bermula semalam hingga Khamis ini (5 Dis).
Fadhlina berkata kementerian kini memberikan fokus kepada fasa pembugaran emosi bagi mempersiapkan mental pelajar yang terkesan akibat banjir menghadapi peperiksaan itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa Ujian Lisan Bahasa Melayu yang bermula semalam berjalan lancar di seluruh negara, termasuk kawasan dilanda banjir dengan pelajar terjejas dipindahkan ke asrama yang dikenal pasti untuk memastikan peperiksaan dapat dilaksanakan mengikut jadual.
“Semalam saya di Kelantan, Ketua Pengarah Pendidikan di Terengganu dan Ketua Setiausaha Kementerian di Kedah. Kami memantau ketiga-tiga negeri ini dengan cukup rapat bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan agensi berkaitan untuk memastikan tiada halangan besar dalam kehadiran calon ke peperiksaan,” katanya.
Mengulas mengenai Ops Payung, Fadhlina berkata operasi berkenaan berjaya dilaksanakan tanpa sebarang halangan selama dua hari pelaksanaannya setakat ini.
“Tidak ada masalah dalam meneruskan mekanisme untuk memastikan semua, khususnya anak kita dalam keadaan selamat ketika musim peperiksaan ini. Jadi saya sekali lagi ucapkan terima kasih dengan bantuan semua agensi,” katanya.
-- BERNAMA