AM

Peniaga Pasar Rantau Panjang Lelong Barang, Kurangkan Kerugian Akibat Banjir

04/12/2024 02:16 PM

PASIR MAS, 4 Dis (Bernama) -- Rata-rata peniaga di Rantau Panjang di sini mula mengadakan jualan lelong dengan tawaran harga lebih rendah daripada biasa, selepas kedai mereka ditenggelami banjir bermula minggu lepas.

Tinjauan Bernama di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyerbu beberapa premis yang menawarkan pelbagai barangan seperti pakaian, permaidani, bantal, cadar, pinggan mangkuk dan periuk pada harga lelong.

Pemilik kedai borong dan runcit, Noreha Mohamad, 35, berkata dia mengambil keputusan untuk mengadakan jualan lelong untuk mengelakkan kerugian lebih besar selepas barangan di kedainya ditenggelami air. 

“Memang terpaksa kena lelong. Kalau masih nak simpan barang semakin rosak sebab barang sudah tiga hari tiga malam dalam air jadi lebih baik lelong kerana ia masih boleh digunakan selepas dibersihkan oleh pembeli. 

“Lelongan kebanyakan dibuat separuh harga daripada harga asal. Barang yang RM100 saya jual RM50, barang RM20 saya jual RM10, bergantung jenis barang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Noreha juga berharap orang ramai yang berkelapangan dapat datang untuk berbelanja di Pasar Rantau Panjang, berikutan ramai peniaga terjejas akibat banjir yang kesannya melangkaui jangkaan mereka. 

“Banjir kali ini memang kesannya di luar jangkaan. Biasanya banjir memang banjir, tapi tak seteruk ini. Tahap kerugian saya masih membuat kira-kira, tapi memang banyak,” katanya. 

Sementara itu, Wan Hanafi Wan Jaafar, 63, yang mengusahakan perniagaan pakaian dan kelengkapan ibadah reda selain menganggap musibah banjir tahun ini yang menyebabkan kerugian lebih RM10,000, sebagai ujian untuk dirinya. 

"Walaupun saya rugi dengan jumlah yang agak besar, namun saya dan keluarga bersyukur kerana masih lagi selamat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan atau apa-apa masalah.

"Banjir tahun ini meningkat dalam masa yang singkat menyebabkan kebanyakan peniaga di sini tidak sempat selamatkan barang-barang perniagaan mereka,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy