PAKA, 4 Dis (Bernama) -- "Air naik terlalu pantas, luar dari kebiasaan," itulah luahan seorang petani, Mohd Noor Besar yang terpaksa menanggung kerugian lebih RM20,000 apabila kebun jagung dan bendi yang diusahakannya musnah dalam banjir yang melanda baru-baru ini.
Lelaki berusia 50 tahun yang sudah mengusahakan kebun itu selama 15 tahun, meluahkan rasa kecewa apabila sebanyak 16,000 pokok jagung yang ditanamnya pada awal Oktober lepas tidak dapat dipetik mengikut jadual melibatkan kerugian dianggarkan lebih RM8,000.
“Tanaman jagung ini sepatutnya boleh petik pada akhir November, tetapi disebabkan banjir dan paras air naik begitu cepat habis semua tanaman jagung saya ini musnah. Banjir teruk dijangkakan pada bulan Disember tapi (tidak sangka) ia datang awal.
“Kalau ikutkan keluasan kebun yang terjejas sekitar dua ekar (daripada lima ekar). Jagung sahaja lebih kurang satu ekar setengah. Sebelum ini sudah beberapa kali dilanda banjir, tetapi kali ini kesannya agak teruk,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kebunnya yang terletak di Jalan Durian Mentangau, kira kira 10 kilometer dari bandar Dungun.
Beliau yang juga usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkata tanaman bendi yang diusahakannya di kawasan seluas setengah ekar juga terjejas teruk apabila kira-kira 3,000 pokok musnah dengan kerugian dianggarkan sekitar RM7,000 hingga RM8,000.
“Selain kerugian tanaman, saya turut kehilangan dua ekor kambing ternakan yang mati akibat banjir. Sebelum ini saya ada ternak 30 ekor kambing tetapi hanya 18 ekor yang sempat diselamatkan dan dibawa ke tempat tinggi. Baki 10 ekor kambing masih ada di kebun.
“Banjir yang melanda bermula selepas hujan lebat tanpa henti selama 12 jam pada hari Khamis, menyebabkan air naik dengan cepat dan menenggelamkan kawasan kebun ini pada Jumaat,” katanya.
Mohd Noor berkata hasil tanaman seperti jagung dan bendi kebiasaannya akan dihantar ke pasar Paka dan diambil secara terus oleh pemborong di kebun berkenaan.
Beliau berharap supaya pihak berkuasa dapat menyalurkan bantuan segera bagi membantu petani yang terjejas akibat banjir sepertinya.
-- BERNAMA