AM

BAYI LELAKI ENAM BULAN MAUT DIPERCAYAI LEMAS DALAM SELIMUT

09/12/2024 09:23 PM

JASIN, 9 Dis (Bernama) -- Seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut dipercayai akibat lemas dalam selimut di rumah pengasuhnya di Merlimau di sini pagi tadi.

Bapa mangsa Nazrul Nizam Mohd Tahar, 29, berkata dia tahu mengenai kejadian menimpa anak tunggalnya Harraz Noah setelah dihubungi isteri, Ainol Izzah Raslan, 25, kira-kira 11.40 pagi.

“Pengasuh maklumkan dekat saya bibir Harraz Noah sudah biru ... pengasuh cerita sebelum kejadian, dia beri susu dekat anak dan sendawakan anak. Kemudian, dia cuba tidurkan di dalam buai, tetapi anak tidak mahu … dia (anak) nak tidur di atas tilam.

“Selepas anak tidur, pengasuh ke dapur buat kerja … ketika hendak tengok anak, dia lihat anak dah tertutup dengan selimut. Pengasuh kemudian telefon isteri yang terus pergi ke rumah pengasuh,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Melaka di sini malam ini.

Nazrul Nizam berkata sudah empat bulan dia menghantar anaknya ke rumah pengasuh terbabit dan sepanjang tempoh itu, tiada perkara buruk berlaku terhadap anaknya.

“ ... kami tidak salahkan dia (pengasuh), sudah takdir … ia mungkin jadi asbab, kami reda, lagipun pengasuh sayang anak kami seperti anaknya sendiri, dia pun pernah keguguran. Biasa kalau datang ambil anak tiada lebam-lebam (dekat badan),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan kes masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy