SUKAN

SELANGOR FC PERLU KEKALKAN RENTAK KEMENANGAN

10/12/2024 12:23 PM

SEREMBAN, 10 Dis (Bernama) -- Selangor FC perlu mengekalkan rentak kemenangan dalam menghadapi perlawanan Liga Super seterusnya, kata ketua jurulatih Katsuhito Kinoshi.

Beliau yang berpuas hati dengan kemenangan 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi, mengakui cabaran dihadapi anak buahnya terutama dalam menangani jadual padat serta mengimbangi komitmen terhadap kelab dan pasukan kebangsaan.

"Saya amat berpuas hati dengan kesemua pemain. Momentum kemenangan ini mesti diteruskan. Kadang-kadang, kita berdepan perlawanan sukar tetapi perkara paling penting ialah percaya dengan diri sendiri.

"Walaupun kita kehilangan beberapa pemain utama, saya mahu melihat seseorang dalam pasukan ini tonjolkan diri untuk menjadi pemain utama," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Beliau berkata meskipun berdepan cabaran, Selangor memberikan persembahan yang dominan sekali gus menampilkan kekuatan dan ketahanan pasukan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan FC K. Nantha Kumar mengakui pasukannya berdepan tugas berat menentang satu pasukan yang hebat dalam saingan liga kali ini.

"Selangor merupakan pasukan bagus, pemain import mereka semua beraksi dengan baik. Beberapa pemain tengah dan serangan kita tidak begitu menjadi malam tadi, saya perlu berbincang dengan pemain...semasa latihan mereka OK," katanya.

Beliau berkata insiden Che Rashid Che Halim dilayangkan kad merah memberikan kesan kepada motivasi pasukan yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Dalam pada itu, kemenangan malam tadi meletakkan pasukan Red Giants di kedudukan kedua carta dengan mengumpul 32 mata berada di bawah pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini mengumpul 43 mata manakala NSFC menghuni tangga ke-13 dengan enam mata.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy