AM

Selangor Salur RM26.5 Juta Program Bantuan Sekolah 2024 - MB

19/12/2024 09:20 PM

SHAH ALAM, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan Selangor menyalurkan sebanyak RM26.5 juta kepada 825 sekolah pelbagai kategori untuk Program Bantuan Sekolah Selangor 2024.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata bantuan di bawah program Iltizam Selangor Penyayang itu bertujuan untuk membaik pulih infrastruktur sekolah dalam usaha menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang selamat serta kondusif kepada guru dan pelajar.

Beliau berkata bantuan berkenaan melibatkan kategori sekolah agama rakyat, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil; sekolah menengah persendirian Cina serta sekolah menengah jenis kebangsaan dan sekolah mubaligh.

“RM26.5 juta disalurkan kepada 825 sekolah yang telah diluluskan permohonannya yang dilaksanakan sepenuhnya dalam talian melalui laman web https://www.selangorpenyayang.com/ bagi memudahkan urusan,” katanya kepada pemberita selepas program penyerahan bantuan itu di sini, hari ini.

Amirudin berkata terdapat sedikit kelewatan berhubung pengagihan bantuan berikutan berlaku beberapa perubahan komponen bantuan itu kali ini.

Susulan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mempercepat bantuan yang sama tahun hadapan untuk diagihkan pada Jun dan Julai dengan permohonan akan dibuka pada 15 Jan ini.  

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy