PASARAN

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI

10/12/2024 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada tengah hari ini berikutan akitviti jualan yang berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih terutamanya dalam sektor telekomunikasi dan media, utiliti dan perkhidmatan kewangan.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.03 mata atau 0.13 peratus kepada 1,609.40 daripada 1,611.43 semalam. Ia dibuka tinggi 1.22 mata kepada 1,612.65.

Indeks bergerak antara 1,607.88 dan 1,615.93 sepanjang sesi dagangan pagi.

Bagaimanapun, suasana pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 445 berbanding 435 manakala 526 kaunter tidak berubah, 1,070 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

CelcomDigi merosot 6.0 sen kepada RM3.59, Petronas Gas berkurangan 32 sen kepada RM17.38 dan Public Bank susut 3.0 sen kepada RM4.51. Kaunter ini menyebabkan indeks komposit merosot dengan gabungan 3.27 mata.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, susulan berita bahawa gelombang kedua banjir dijangka melanda negara, pihaknya percaya akan ada lebih banyak turun naik dagangan bagi kaunter perladangan berikutan banjir dijangka meningkatkan harga minyak sawit mentah (MSM) disebabkan kebimbangan mengenai bekalan.

"Peniaga juga boleh mencari peluang dalam industri pusat data di bawah sektor teknologi seperti penyelesaian IT, keselamatan siber, pemacu cakera keras, perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) serta pemasangan dan ujian semikonduktor yang disumber luar didorong oleh permulaan pembinaan pusat data pada awal tahun ini.

"Selain itu, dalam kita semakin menuju akhir tahun, impak daripada aktiviti memperelokkan akaun dijangka berlaku pada kaunter saham mewah tertentu," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB merosot 4.0 sen kepada RM8.14, Maxis susut 5.0 sen kepada RM3.45, MR D.I.Y. berkurangan 4.0 sen kepada RM1.82 manakala Petronas Chemicals meningkat 29 sen kepada RM5.10 dan Axiata menambah 4.0 sen kepada RM2.40. 

Daripada saham aktif, Top Glove naik 4.0 sen kepada RM1.37, Supermax Corporation meningkat 4.0 sen kepada RM1.07, JCY International menambah setengah sen kepada 48.5 sen manakala Velesto Energy dan KNM Group, masing-masing tidak berubah pada 16 sen dan 6.5 sen.   

Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM 70 menambah 32.50 mata kepada 18,419.96, Indeks FBM Emas Shariah naik 9.55 mata kepada 12,344.76 dan Indeks FBM ACE meningkat 36.53 mata kepada 5,303.35.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas berkurangan 2.63 mata kepada 12,328.91 dan Indeks FBMT 100 susut 4.40 mata kepada 12,011.32 

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 1.41 mata kepada 176.09, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 21.76 mata kepada 19,082.78, Indeks Tenaga berkurangan 0.20 mata kepada 823.52 dan Indeks Perladangan susut 37.23 mata kepada 7,714.61.  

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy