KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Bersama Siswa yang sebelum ini menyantuni pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dicadang diperluas ke politeknik tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024 berkata ia antara cadangan bagi penambahbaikan aktiviti dan program di bawah penganjuran HAWANA 2025.
"Mungkin kita boleh berkongsi (pada Jelajah HAWANA di politeknik) bidang-bidang kemahiran yang ada di Bernama, seperti fotografi, reka bentuk grafik dan sebagainya...dan ia dipersetujui menteri (Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil) supaya apa jua maklumat yang boleh manfaatkan pelajar diperluas.
“Perkara ini akan dibincangkan secara terperinci pada satu mesyuarat bersama ketua-ketua jabatan nanti. Mungkin awal tahun hadapan, kita boleh menyusun dan menyenaraikan program yang dapat kita laksanakan yang mungkin juga seiring Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi HAWANA 2024, di Wisma Bernama di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek HAWANA 2024 dan Timbalan Ketua Pengarang Bernama merangkap Ketua Jawatankuasa Promosi, Publisiti Projek HAWANA 2024 Nasriah Darus.
Jelajah HAWANA Bersama Siswa yang julung kali diadakan sempena sambutan HAWANA 2024 melabuhkan tirainya pada 12 Dis lepas usai kunjungan ke beberapa IPTA di enam zon seluruh negara.
Menyifatkan jelajah itu sebagai kejayaan besar, Nur-ul Afida berkata selain penganjuran bengkel interaktif yang relevan dengan dunia digital dan bidang kewartawanan, set komputer berkeupayaan tinggi dan televisyen pintar turut disumbangkan kepada beberapa universiti menerusi program tersebut.
HAWANA yang dianjurkan bagi meraikan sumbangan pengamal media pada 29 Mei setiap tahun, turut memperkenalkan Tabung Kasih@HAWANA bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media yang keuzuran atau memerlukan bantuan.
Nur-ul Afida memberikan komitmen Bernama sebagai sekretariat tabung berkenaan untuk menyampaikan amanah kepada penerima yang layak menerusi peruntukan yang disalurkan.
Mengenai Majlis Apresiasi HAWANA 2024 hari ini, beliau berkata ia dianjurkan sebagai penghargaan kepada semua petugas yang terlibat sepanjang penganjuran acara itu.
-- BERNAMA